Friday 10 February 2012

Veteran Sarawak Ranger sudah diberi sagu hati awal

by Nick Fletcher. Posted on February 10, 2012, Friday

Tidak wajar mereka menuntut mendapatkan sagu hati RM3,000 yang diberikan kerajaan kepada bekas polis

KUCHING: Tidak maklum atau mungkin lupa, tetapi apa yang pasti veteran Sarawak Ranger yang pernah menyumbang bakti semasa zaman konfrontasi dan darurat dahulu sudah diberikan sagu hati penghargaan lebih awal.
Maka adalah tidak wajar lagi untuk mereka menuntut mendapatkan sagu hati RM3,000  yang diberikan kerajaan kepada bekas polis, demikian jelas Asisten Ketua Perkhidmatan Anggota Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim.
“Kerajaan memberi kepada polis kerana mereka belum mendapat apa-apa pun sedangkan tentera sudah lama dapat iaitu melalui Elaun Tamat Perkhidmatan Mubalisasi (ETPM).
“Mungkin mereka sudah lupa,” katanya sambil menambah kebanyakan veteran tentera telah menikmati elaun ETPM.
Beliau bercakap dalam sidang media sempena lawatan kerja dan sesi dialog antara Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad bersama pegawai dan anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dan Briged Ke-3 Infantri Malaysia berkaitan SBPA di Kem Penrissen, di sini semalam.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Ketua Pengarah Sekretariat Tentera Darat Brigedier Je-neral Datuk Pahlawan Zulkifli Mansor, Pengarah Urusan Gaji Angkatan Tentera Brigedier Jeneral Basrun Husain, Ketua Pengarah Tenaga Kerja Brigedier Jeneral Mohd Sani Ahmad dan Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah.
Abdul Aziz mengulas mengenai aduan veteran Sarawak Ranger bahawa sagu hati RM3,000 seharusnya melibatkan mereka dan bukannya hanya polis kerana mereka juga berkhidmat ketika itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 mengumumkan bahawa bekas polis yang berkhidmat semasa Darurat Malaya antara tahun 1948 hingga 1962 serta 1962 hingga 1974 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menerima sagu hati RM3,000.
Golongan penerima ialah Konstabel Khas, ‘Home Guard’, Polis Bantuan, Konstabel Polis Tambahan, Polis Sempadan, Polis Hutan, Polis Gerakan Am dan Konstabel Sarawak.

No comments:

Post a Comment