Saturday, 18 February 2012

Takun ramal PRU13 selepas Mei

Posted on February 18, 2012, Saturday

KUCHING: Jika segalanya berjalan lancar, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kemungkinan besar diadakan selepas Mei.
Demikian menurut pendapat Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri, Datu Takun Sunggah.
Menurut beliau, SPR Negeri kini sudah bersiap sedia untuk pertarungan terbesar antara parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat pada PRU13 nanti.
“Menurut perancangan, kami akan bersedia untuk PRU13 selepas 31 Mei,” katanya kepada The Borneo Post di sini, semalam.
Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam Rabu lalu, tetapi masih belum ada bayangan bila PRU13 akan diadakan.
Sementara itu, mengenai Pegawai Pilihan Raya (RO) yang kebiasaannya Pegawai Kanan Kerajaan, Takun berkata, mereka masih belum dilantik.
“Kami belum lagi di peringkat itu, terdapat banyak perkara yang perlu kita lakukan sebelum bersiap sedia untuknya (PRU13),” tegas beliau.
Beliau turut memberitahu, terdapat lebih sejuta orang pengundi berdaftar di negeri ini, yang meningkat sedikit berbanding pilihan raya sebelumnya.
Berhubung isu lain, Takun berkata, SPR hanya akan mengeluarkan nama pengundi yang sudah meninggal dunia dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri menerusi Sistem Hubungan Agensi (ALIS).
“Hanya JPN dapat memadamkan nama pengundi yang sudah meninggal dunia selepas nama mereka disahkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, SPR Negeri belum bersedia untuk mendapatkan dakwat kekal kerana ia masih dapat dibuang dengan mudah.
“Ibu pejabat SPR di Kuala Lumpur akan membekalkan dakwat berkenaan apabila masanya sudah tiba,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment