Friday 24 February 2012

Israel: Anwar, PAS setuju tak bersetuju

Subky Latif, 23 Feb 2012

KEDUA-dua PAS dan Anwar Ibrahim saling perlu memerlukan antara satu sama lain terutama dalam rangka melakukan perubahan politik dan mewujudkan sebuah negara dan masyarakat adil  di Malaysia.
Kedua-duanya sedang berada sedang berada di peringkat yang begitu hampir bagi menyelamatkan Malaysia dari hancur dan muflis.
Tiba-tiba mereka berdepan dengan satu cabaran iaitu kewujudan Israel.
PAS  memperaku lagi sikap menolak kewujudan entiti haram Israel dalam apa keadaan sekali pun ditakdirkan seluruh umat Palestin menerima kewujudan Israel itu.
Manakala Anwar pula dalam interbiu dengan Wall Street Journal mengambil sikap terbuka untuk mengakui kewujudan negara Yahudi itu dengan syarat regim itu memenuhi dulu semua tuntutan masyarakat antarabangsa.
Iaitu menerima kewujudan negara Palestin, menjamin kemerdekaan dan kedaulatannya serta mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin.
PAS tidak menyatakan persetujuannya atas kenyataan Anwar itu dan Anwar pula yang menghormati sikap tegas PAS, tidak bercadang untuk menarik balik kenyataannya itu dan dia juga tidak bercadang untuk minta PAS mengubah sikapnya.
Walau pun PAS tegas tidak setuju dengan kenyataan Anwar itu dan Anwar pula tidak setuju mengubah kenyataannya, tetapi kedua-duanya masih bersetuju untuk terus maju bersama dalam Pakatan Rakyat.
PAS tidak bercadang untuk membuang Anwar dari kedudukannya dalam Pakaatan Rakyat dan PAS tidak bercadang untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sekali pun Anwar masih menjadi orang terpenting dalam Pakatan Rakyat.
Dengan sikap PAS itu Anwar juga tidak bercadang menyingkirkan PAS dari kumpulan yang  dipimpinnya dan dia tidak bercadang untuk meninggalkan muafakat itu semata-mata kerana PAS tidak tertarik dengan kenyataannya.
Itulah yang dinamakan kedua-duanya bersetuju untuk tidak bersetuju dengan isu yang berbangkit itu.
Dan DAP jangan bimbang perbedaan antara PAS dan Awar itu. Ia tidak menyebabkan Pakatan Rakyat boleh berpecah dan ia tidak pula mengubah cita-cita bersama untuk mara ke Putrajaya.
Dan UMNO dan Barisan Nasional seronok sangat dengan percanggahan pandangan antara PAS dan Anwar atas perkara itu. Pakatan tidak akan pecah kerana perbezaan itu.
Betul isu itu besar tetapi PAS dan Anwar ada banyak perkara yang lebih besar yang mereka sepakat. Apabila yang disepakati lebih banyak dan lebih besar, maka yang mereka tidak setujui jadi kecil.
Bagi rakyat Malaysia pada masa ini  menumbangkan Barisan Nasional dan mengganti Najib sebagai Perdana Menteri adalah lebih penting dan utama dari isu Israel. Apa yang berlaku di Palestin dalam jangka waktu yang dekat ini tidak banyak membawa perubahan.
Israel tidak mungkin dapat melenyapkan Gaza dan Tebing Barat dari tangan Palestin dalam masa sepuluh tahun  akan datang dan Israel pun tidak mungkin boleh ditiadakan dalam masa itu.
Tetapi Malaysia boleh jadi menerima nasib seperti Greece dalam masa yang dekat kiranya Malaysia terus dipimpin Najib dan UMNO. Idris Jala mmberi  amaran Malaysia akan muflis tahun 2019 jika sabsidi tidak dihapuskan. Kerajaan tidak pula mengurangkan pembaziran dan tidak juga menghentikan sikap boros setelah adanya amaran Idris Jala itu.
Tiada yang dapat menyekat  Malaysia dari hancur dan muflis melainkan Najib dan UMNO dibuang dari Putrajaya. Selepas Putrajaya ditawan, maka baru kita bincang semula isu Israel.
Anwar tahu PAS tidak suka dan  tidak setuju dengan kenyataannya. Tetapi dipercayai perlu berdiplomasi kepada dunia yang kebanyakan tidak menolak Israel.
Malaysia tidak memerlukan Israil sekarang. Tetapi yang memerlukan Malaysia ialah Israel. Sebabnya Malaysia antara negara Islam yang berperanan di peringkat antarabangsa. Peranan itu lebih ketara jika Pakatan yang berkuasa dan Anwar pula berperanan. Maka Israel yang mahukan Malaysia.
Kalau Israel merasakan Malaysia penting, kalau ia mahukan sesuatu dari Malaysia, maka ia kena buat apa yang Malaysia mahu. Israel mesti buat apa yang Anwar anjurkan. Terima Palestin yang bebas dan berdaulat. Akui hak Palestin dan Islam atas Baitul Maqdis.
Jika ia dipenuhi baru Malaysia  dan Anwar akan  timbangkan kehendak Israel itu. Tetapi Anwar juga tahu, yang  dikatakan Israel itu mustahil ia mendengar syarat Anwar. Bila syarat Anwar itu ditolak, tidak berbangkit jaminan Malaysia atas keselamatan Israel.
Saya nampak Anwar menjanjikan suatu yang Israel tidak akan setuju.

No comments:

Post a Comment