Monday 20 February 2012

'Benteng pertahanan kepentingan agama'

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my
2012/02/20

NAJIB ketika berucap pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.
NAJIB ketika berucap pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan
 Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.

Muafakat ulama, cendekiawan, penulis tepis fitnah: PM

KUALA LUMPUR: Permuafakatan yang wujud antara kerajaan dengan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya akan menjadi benteng pertahanan kepada kepentingan serta maruah agama di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerjasama berkenaan amat perlu bagi menyaring setiap maklumat serta menepis segala tuduhan dan fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab melalui tindak balas segera bagi memperbetul sebarang kekeliruan dengan cepat.
Katanya, umat Islam sedang menghadapi pelbagai cabaran getir yang menuntut mereka bersatu padu, memperkukuh permuafakatan, selaras dari segi tindakan serta menguatkan iltizam bagi memastikan kesucian Islam dapat diperjuang, sekali gus mempertahankan kestabilan dan kemakmuran negara.

Lebih-lebih lagi, beliau berkata, revolusi teknologi maklumat kini menyaksikan fenomena penggunaan media sosial untuk menyebarkan perkara bersifat ‘api dalam sekam atau virus’, terutama maklumat palsu dan fitnah dengan sangat mudah serta pantas.

“Pembabitan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya amat penting dalam konteks cabaran semasa kerana maklumat perlu disampaikan dengan tepat supaya ia tidak dapat diseleweng atau sengaja disongsangkan menjadi fitnah untuk tujuan politik. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan segala maklumat palsu.

“Sikap berdiam diri, tidak mahu campur tangan atau malas bertindak, akan memberi kesan sangat buruk kepada umat dan kedudukan agama Islam, lebih-lebih lagi bidang politik adalah suatu jihad yang perlu diutamakan dalam Islam.
“Kita tidak dapat memisahkan politik daripada perjuangan menegakkan agama dan kepentingan umat Islam. Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia adalah bidang yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia di atas muka bumi ini, yakni sebagai khalifah Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.

Justeru, Najib berkata, berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariat Islam, sama ada melalui penulisan mahu pun percakapan, perlu bermula dengan niat ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat serta tidak mengelirukan.

Sambil menjelaskan jihad sedemikian akan menghasilkan perpaduan ummah lebih kukuh dan utuh serta memartabatkan Islam, beliau berkata, peranan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya sangat besar yang mana mereka perlu lebih peka serta prihatin terhadap perkembangan semasa dan juga perubahan dasar kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya, beliau akan berjuang habis-habisan untuk kebajikan rakyat Malaysia, termasuk kumpulan agama yang mana kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha seperti menaikkan elaun 4,254 imam daripada RM450 kepada RM750 sebulan, elaun guru KAFA daripada RM500 kepada RM800 serta menyambung semula bantuan perkapita sebanyak RM95 juta setahun kepada sekolah agama rakyat
.

No comments:

Post a Comment