Monday, 20 February 2012

BN mesti pertahan prinsip negara

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amarudiin
bhnews@bharian.com.my
2012/02/20

MUHYIDDIN    bersalam dengan ahli UMNO yang menyambut ketibaan beliau pada   majlis penutup Konvensyen UMNO Perak 2012 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam.
MUHYIDDIN bersalam dengan ahli UMNO yang menyambut ketibaan
 beliau pada majlis penutup Konvensyen UMNO Perak 2012 di Dewan
 Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam.


Perjuangan menang PRU-13 benteng halang usaha pembangkang ubah ideologi

KUALA KANGSAR: Perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sekadar mahu mengekalkan kuasa politik, malah sebagai benteng untuk menghalang pengaruh dan anasir, termasuk pembangkang daripada menodai ideologi, nilai dan prinsip yang dipertahankan negara sejak sekian lama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata apa yang dinyatakan pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung undang-undang liwat yang disifatkan sebagai lapuk dan terbaru mengenai Israel serta kenyataan beberapa pemimpin pembangkang lain, jelas menunjukkan ada usaha mengubah ideologi, nilai dan prinsip berkenaan.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perjuangan mempertahankan perkara itu termasuk nilai agama dan timur daripada dinodai menjadi satu jihad serta amanah yang mesti dipikul setiap ahli dan pemimpin parti.

“Jika kita biarkan pihak ini (pembangkang) ambil alih kuasa politik di negara ini, inilah yang akan berlaku dan ini sesuatu yang perlu kita elakkan...nauzubillah.

“Bermakna perjuangan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya bukan setakat untuk merebut kuasa politik, kita sebagai ahli UMNO iaitu pendukung kuat dalam Kerajaan BN mempunyai satu amanah yang lebih besar daripada itu.

“Kita harus menjadi benteng daripada pengaruh dan anasir yang agak kontra dengan nilai kita, yang menggunakan asas seperti hak asasi manusia untuk mengubah segala bentuk hidup.
“Kuasa politik juga penting untuk UMNO dan BN menentukan kerajaan dapat memikul amanah serta melaksanakan tanggungjawab memajukan dan membangunkan negara secara lebih berkesan,” katanya berucap menutup Konvensyen UMNO Perak 2012, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai lebih 4,000 pemimpin bahagian dan cawangan yang hadir pada konvensyen sehari itu mengulangi lafaz baiah atau ikrar di hadapan Muhyiddin. Ikrar berkenaan pernah dilafazkan ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri berasa takut seandainya kuasa terlepas ke tangan pembangkang selepas mendengar kenyataan dibuat Anwar serta pemimpin lain seperti Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz berkaitan hudud dan kompromi PAS kepada DAP berhubung prinsip negara Islam manakala DAP pula mengeluarkan kenyataan yang banyak bercanggah dengan prinsip Perlembagaan.

Katanya, beliau percaya perubahan yang mahu dilakukan pembangkang jika menawan Putrajaya tidak memberi keadaan yang lebih baik kepada negara dan rakyat dan kerana itu, UMNO serta BN mesti mempertahankan kuasa politik.

Beliau bagaimanapun mengakui tugas untuk mendapat mandat rakyat bukan mudah terutama adanya cabaran lebih hebat daripada pembangkang, namun yakin kemenangan pasti memihak kepada parti jika semua jentera, 'ketumbukan dan 'tentera' UMNO terus bekerja keras untuk berkhidmat, berdamping dan mendapat sokongan rakyat.

Muhyiddin berkata, beliau gembira kerana UMNO Perak diterajui Zambry menunjukkan tahap kesediaan tinggi untuk berdepan PRU-13 pada bila-bila masa, termasuk ditunjukkan melalui kehadiran pemimpin akar umbi pada konvensyen semalam yang juga disifatkan terbesar pernah diadakan di negara ini.

No comments:

Post a Comment