Thursday 23 February 2012

Pembangkang bawa budaya ‘jaguh menghasut’

by Mastura Ismail. Posted on February 23, 2012, Thursday

Semakin merebak di Sarawak yang dikhuatiri gugat kestabilan politik jika tidak ditangani dengan baik

LIMBANG: Budaya ‘jaguh menghasut’ yang dibawa parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia kini dilihat semakin merebak di Sarawak yang dikhuatiri boleh menggugat kestabilan politik jika tidak ditangani dengan baik.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, unsur politik sedemikian tidak sesuai untuk diamalkan di negeri ini kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat.
Menurutnya parti pembangkang yang bertapak di Semenanjung Malaysia dilihat semakin berani menunjuk jaguh mereka yang sebenar untuk menghasut rakyat
.“Unsur politik parti pembangkang di Semenanjung (Malaysia) seperti DAP dan PKR sudah menular di Sarawak dan mereka  sebenarnya adalah  jaguh menghasut rakyat untuk menggugat kestabilan politik di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata demikian pada perasmian Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan pecah tanah Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Limpaku Pinang semalam.
Turut hadir Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Pegawai Daerah Limbang Suhandi Tugiman dan Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatzaman Sapar.
Awang Tengah berkata, bukan mudah untuk mentadbir negeri Sarawak yang mempunyai lebih 6,000 kampung dan rumah panjang serta didiami lebih 30 etnik yang berlainan budaya, agama dan suku kaum.
“Selama ini pelbagai cabaran ditempuh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan keperluan asas dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Apa jua keperluan rakyat akan dipenuhi  walau apa jua rintangan yang dihadapi dan semua pembangunan dilakukan bukan dalam dalam masa yang singkat dan ia dijalankan mengikut perancangan secara teliti,”jelasnya.
Menurutnya, pendekatan kerajaan BN berbeza dengan pembangkang yang berpolitik sepanjang masa, menghasut rakyat dan mengamalkan politik untuk memecahbelahkan perpaduan sedia ada.
Beliau berkata pelbagai transformasi dicapai bagi memastikan negara terus stabil dan pertumbuhan ekonomi menjadi rancak walaupun dunia mengalami kemerosotan ekonomi.
“Berbeza dengan negara membangun seperti Malaysia yang mempunyai ekonomi yang kukuh dan terus berkembang disebabkan pemimpinnya yang berpegalaman serta pegawai kerajaan yang komited menjalankan tugas.
“Semua ini memberi kepercayaan kepada para pelabur untuk melabur di negara ini sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang semakin baik,”katanya.
Beliau menambah kerajaan bukan saja menumpukan kepada aspek ekonomi negara malah mengutamakan dan menjaga kebajikan rakyat.
“Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan persekutuan memberi peruntukan besar untuk menyediakan kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar bagi menjayakan Bidang Keberhasilan Negara (NKRA),”jelasnya.
Awang Tengah juga mahu pemimpin BN menggembleng tenaga untuk membawa pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengetepikan segala perbezaan agar ia memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat.Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan turut membelanjakan hampir RM10 juta bagi menyediakan  BALB dan BELB melibatkan 39 rumah di Kampung Limpaku Pinang.
BALB menelan belanja sekitar RM4.5 juta yang sudah dilaksanakan pada 2009 melalui sistem takungan air hujan yang dilengkapi dengan teknologi canggih.
Sistem takungan tersebut dibina dengan keluasan 5,000 meter persegi bagi memudahkan lebih 270 penduduknya menikmati bekalan air bersih berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada air sungai untuk melakukan aktiviti harian.

No comments:

Post a Comment