by Agnes Tugong. Posted on February 19, 2012, Sunday
Jentera BN harus pastikan keberkesanan semua peringkat
PENERANGAN: Ahmad (tengah) mempengerusikan sidang media
di Yayasan Sarawak semalam. Turut kelihatan Manyin (kiri) dan Dr Rundi.
KUCHING: Jentera penerangan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menggunakan teknologi media maya dalam usaha menarik sokongan golongan muda.
Susulan itu, semua jentera penerangan perlu memiliki laman web sendiri sebagai salah satu strategi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurut Ketua Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan, perkara ini perlu diusahakan segera untuk keberkesanan jentera di semua peringkat sama ada Pemuda, Wanita, cawangan mahupun ranting.
“Menerusi perjumpaan bersama ahli jawatankuasa empat peringkat parti di semua negeri, jentera penerangan disarankan supaya menggunakan strategi 4M (Media Bersemuka, Media Cetak, Media Digital dan Media Elektronik) bagi menghadapi PRU13.
“Strategi ini penting untuk memastikan keberkesanan jentera penerangan di pelbagai peringkat parti pada PRU13 akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan jentera penerangan BN Negeri di Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah di sini semalam. Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Setiausaha BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Naib Presiden PBB Dato Sri Michael Manyin Jawong.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad sekali lagi mengingatkan jentera penerangan BN supaya berada pada gear penghabisan iaitu Gear 5 agar dapat digerakkan awal meskipun tarikh pilihan raya belum diketahui.
Menyentuh mengenai lawatan dan perjumpaannya bersama ahli jawatankuasa empat peringkat parti itu semalam, ia adalah khas tentang penerangan yang mana kemudiannya mereka ini akan menjadi jurucakap kepada jentera penerangan negeri.
Seramai 212 orang dari pelbagai peringkat jawatankuasa parti.
Program yang sama akan dilanjutkan ke kawasan Sibu dan Miri dan ia akan diselesaikan dalam bulan ini.
No comments:
Post a Comment