Tuesday 6 March 2012

Gaji minimum tak muflis negara


2012/03/06

SERI KEMBANGAN: Penetapan gaji minimum tidak akan memufliskan negara, sebaliknya dilihat sebagai pemangkin kepada golongan pekerja untuk meningkatkan produktiviti masing-masing, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat pelbagai kajian serta mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada banyak pihak sebelum menguatkuasakan gaji minimum tidak lama lagi serta dilihat mampu melonjakkan ekonomi negara.
“Bukannya Malaysia satu-satunya negara yang mahu memperkenalkan gaji minimum, sebaliknya sudah lebih 80 negara mempunyai dasar itu dan ia dilihat sebagai satu perkara positif untuk membangunkan sektor ekonomi.
“Negara seperti Singapura, Jepun dan Taiwan yang mana kemajuannya seiring dengan Malaysia turut mengamalkan gaji minimum..., jika kita lihat struktur gaji di negara ini juga jauh lebih rendah berbanding negara terbabit.

“Justeru, kerajaan melihat sudah tiba masanya untuk kita menetapkan dasar gaji minimum dan mempunyai strategi tersendiri yang tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis tamat latihan Program Pelatih Penyiaran ASTRO di sini, semalam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya baru-baru ini, mendakwa Malaysia boleh muflis jika gaji minimum dilaksanakan kerana terpaksa membayar lebih untuk kerja yang kurang, selain mempunyai terlalu banyak cuti umum yang boleh menjejaskan produktiviti negara.

No comments:

Post a Comment