Oleh Hassan Mohd. Noor
SEMALAM Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melancarkan jentera Pilihan Raya UMNO Wilayah Persekutuan (WP). Mungkin kerana terlalu banyak bercakap dalam pelbagai program sepanjang minggu, suaranya agak serak tetapi mesejnya masih boleh difahami.
Muhyiddin memikul tugas sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) WP. Mesej jelas yang disampaikan oleh Muhyiddin tentulah mengenai ‘sokong siapa saja calon BN’. Pada pilihan raya umum (PRU) nanti, apa yang penting ialah kemenangan parti bukannya calon yang bertanding.
Kata Muhyiddin: ‘‘Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan UMNO, kemenangan rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak adalah kemenangan BN’’.
Mesej ini bukan sekadar untuk WP sahaja sebaliknya di seluruh negara. Tetapi bagi WP terutama di KL, setiap anggota parti komponen BN perlu menerima baik mesej ini jika mereka mahu ‘gelombang biru’ membersihkan tsunami politik 2008.
Apakah UMNO/BN terutama di WPKL bersedia untuk bangkit semula? Tsunami politik 2008 menyebabkan WPKL jatuh ke tangan DAP, PKR, Pas. Bukannya luar biasa bagi pembangkang menguasai kerusi di ibu negara dan sekitarnya tetapi dengan hanya satu kerusi, keputusan PRU yang lalu bagi BN amat memeritkan. Daripada 11 yang ditandingi, BN tewas di 10 kerusi. Setiawangsa yang ditandingi Zulhasnan Rafique ‘menyelamatkan’ keadaan. Berbekalkan Setiawangsa, UMNO/BN masih ‘terus bernafas di pusat sehenti’ yang menjadi nadi urusan politik, pentadbiran dan pengurusan negara. Mujurlah, UMNO tidak ‘dihanyutkan’ arus Sungai Klang. Nasib baik, WP Putrajaya dan Labuan kekal pada BN melalui Tengku Adnan Tengku Mansor dan Yusuf Mahal. Justeru, pelancaran jentera PRU Ke-13 UMNO semalam sekurang-kurangnya dapat menyuntik semangat baru kepada seluruh anggota parti untuk membasuh tsunami politik 2008.
Menyelak kembali keputusan PRU lalu di WP, UMNO bertanding di lima kerusi termasuk Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. Keputusan mengejutkan apabila Shahrizat Abdul Jalil kalah kepada calon PKR, Nurul Izah Anwar (PKR) di Lembah Pantai dengan majoriti 2,895 undi. Shahrizat gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2004 dengan majoriti 15,288 undi. Satu lagi kerusi ialah Titiwangsa apabila muka baru, Aziz Jamaluddin Mhd Tahir tewas kepada Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Pas) dengan majoriti 1,972 undi berbanding kemenangan calon BN 2004 dengan majoriti 11,815 undi.
Mampukah BN menguasai semula Lembah Pantai dan Titiwangsa dan mengekalkan Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan?
Semuanya terletak kepada kepimpinan dan anggota parti di kawasan berkenaan sejauh mana mereka dapat menerima amaran, nasihat dan teguran Muhyiddin. Jika masih mahu berebut, ‘pijak kepala’ kawan, sabotaj dan macam-macam lagi, maka lupakan saja kemenangan. Bagaimana pula dengan lapan kerusi yang ditandingi MCA dan Gerakan? MCA dan Gerakan tersungkur dan tersingkir di KL pada PRU lalu.
Penganalisis politik, B. Anbumani menyatakan, antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN di Lembah Klang termasuklah kehilangan undi yang ketara daripada masyarakat Cina dan India. MCA gagal mempertahankan Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak apabila tewas kepada PKR sementara DAP pula menyapu bersih kerusi yang menjadi ‘kubu kuat’ mereka di Seputeh, Bukit Bintang dan Cheras.
Gerakan pula gagal mempertahankan Segambut dan Batu yang jatuh kepada DAP dan PKR serta terus mengalami kekalahan di Kepong, kerusi tradisi DAP. Kecuali di Bandar Tun Razak, majoriti pengundi ketika itu adalah masyarakat Cina dan kedudukan itu mungkin masih kekal sehingga sekarang.
Mungkin untuk PRU akan datang, BN melalui mana-mana parti komponen sekurang-kurangnya perlu ‘mengambil semula’ Segambut, Batu, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak sementara kerusi lain boleh dianggap bukan pilihan utama untuk menang. Jika menang, mungkin di Bukit Bintang, ia adalah satu bonus kepada BN.
Ramai yang menjangkakan BN mampu ‘mengambil semula’ Wangsa Maju, kawasan yang dilihat mempunyai ramai pengundi Melayu. Pada PRU lalu, calon PKR, Wee Choo Keong menang dengan majoriti 150 undi mengalahkan penyandang, Yew Teong Look yang sebelum itu menang dengan majoriti 10,185 undi.
Khabarnya, UMNO berminat dengan kerusi ini sementara PKR dijangka meletakkan Dr. Tan Kee Kwong, bekas Ahli Parlimen Segambut yang juga bekas Pengerusi Gerakan WP KL. Bekas timbalan menteri itu kini mengetuai Wangsa Maju selepas Choo Keong menjadi wakil rakyat Bebas.
Begitu juga dengan Bandar Tun Razak. Adakah strategi PKR menurunkan calon Melayu, Khalid Ibrahim yang memenangi kawasan itu akan menjadi turutan BN? Mungkin formula ini boleh diguna pakai untuk sekurang-kurangnya PRU akan datang dengan matlamat untuk menang dan berdasarkan kepada ‘calon boleh menang’ yang boleh diterima pengundi serta penduduk setempat. Maka setiap parti komponen BN perlu sedia ‘berkorban’ demi strategi yang dapat menjamin kemenangan BN.
Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin berpengaruh di WP boleh menjadi faktor kekuatan untuk menggerakkan jentera UMNO seperti Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta dua bekas Pengerusi UMNO WP iaitu Zulhasnan Rafique dan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Mereka boleh memainkan peranan yang penting untuk memperkuatkan lagi jentera BN dan UMNO WP yang dipimpin oleh Muhyiddin. Timbalan Perdana Menteri itu perlu diberi sokongan yang kuat oleh setiap pemimpin parti komponen BN di WP supaya tidak timbul masalah menjelang PRU.
Semua pemimpin BN di semua peringkat iaitu UMNO, MCA, MIC , Gerakan dan PPP perlu bersatu untuk memperkukuh, memperkasa dan memperkuatkan lagi jentera parti. Di WP, pemilihan calon amat sensitif kerana tidak ada kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini menjadi cabaran kepada pemimpin untuk mencari calon boleh menang yang terbaik dari segala aspek.
Dan harus diingat, geografi politik Kuala Lumpur melibatkan kumpulan campuran iaitu golongan elit dan sederhana termasuk pengundi baru dari seluruh negara yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Merekalah yang akan menentukan gelombang pilihan pada PRU akan datang.
No comments:
Post a Comment