Tuesday 3 April 2012

PAS S’wak hargai peranan media

Posted on April 3, 2012, Tuesday

MIRI: PAS Sarawak menghargai peranan media tempatan dalam mengetengahkan setiap isu yang berbangkit khususnya melibatkan isu-isu rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, pelbagai isu telah dibangkit oleh PAS Sarawak dan beberapa isu terbabit disiarkan dalam media tempatan.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media tempatan yang memberi ruang dan kerjasama dengan menyiarkan laporan yang kami ketengahkan selama ini,” katanya kepada Utusan Borneo.
Menurutnya, pihak media tempatan juga sentiasa menyiarkan berita tanpa sebarang tokok tambah atau memutar belit kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan pihak tertentu.
Sebagai contoh katanya, isu pemulangan semula cagaran poster calon yang tertangguh yang pernah disiarkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini telah mendapat reaksi daripada agensi berkaitan.
“PAS Sarawak telah dihubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuching yang mengatakan mereka akan memulangkan semula wang poster calon pada pilihan raya lalu,” jelasnya.
Menurutnya, semua laporan atau isu yang dibangkitkan pihaknya adalah berdasarkan aduan rakyat agar agensi berkaitan mengambil tindakan segera ke atas isu terbabit.

No comments:

Post a Comment