Tuesday 3 April 2012

Dicalon atau tidak, Rohani terus bekerja

Posted on April 3, 2012, Tuesday



KUCHING: Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim tetap meneruskan kerja membangunkan rakyat di kawasannya sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) Pusat dan Negeri sama ada beliau akan dicalonkan semula atau tidak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Rohani memberitahu, walaupun khabar angin mengatakan beliau tidak akan dicalonkan semula namun perkara itu tidak menjejas tanggungjawabnya untuk meneruskan kerjanya sebagai Ahli Parlimen di kawasan tersebut.

“Saya masih sebagai Ahli Parlimen dan saya tetap meneruskan kerja saya sehingga pengumuman rasmi dibuat nanti (sama ada digantikan atau dikekalkan sebagai calon),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Pameran Suaian Perniagaan di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menambah, khabar angin seumpama itu sudah menjadi lumrah dalam politik terutama menjelang pilihan raya.

“Ia sudah menjadi perkara biasa berlaku, pembangkang akan menimbulkan pelbagai isu, ramai juga yang berminat kadangkala sakit hati juga tetapi ia adalah lumrah bila menjelang pilihan raya,” katanya.

Ketika ditanya situasi terkini di kawasannya, Rohani yang sudah lima penggal menjadi Ahli Parlimen memberitahu, beliau turun padang setiap minggu untuk melihat keperluan semasa rakyat di kawasannya.

“Orang seperti ini kadangkala buat isu, mereka (pembangkang) biasalah… apa yang kita buat semua tidak betul tetapi mereka sendiri tidak buat apa-apa,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment