Penyandang kerusi Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dilihat tidak gentar berhadapan calon pembangkang pada pilihan raya akan datang
MIRI: Penyandang kerusi Parlimen P218 Sibuti Ahmad Lai Bujang dilihat tidak akan gentar berhadapan dengan calon pembangkang pada pilihan raya akan datang.
Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.61 Bekenu Kaunselor Jamali Basri berkata, sesiapa pun calon pembangkang yang berhasrat untuk merampas kerusi yang dipegang oleh calon Barisan Nasional (BN), maka BN tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka.
“Kami tidak akan memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk merampas kerusi kami sebaliknya kamiakan mempertahankan ia secara berhabis-habisan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jamali memberitahu, pembangkang akan menggunakan seribu satu cara untuk meraih sokongan termasuk memanipulasi isu-isu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat.
“Sudah pasti kerajaan mempunyai strategi tersendiri untuk menangkis kenyataan palsu pembangkang dan kami akan kerap turun padang memberi maklumat sebenar kepada rakyat,” jelasnya.
Malah katanya, setiap isu yang diketengahkan pembangkang kebanyakkan isu lapuk dan sebahagian besar isu terbabit telah diselesaikan atau diungkai kerajaan BN.
“Apa yang penting sekarang adalah untuk memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang kerana mereka hanya bijak mencari ruang menghasut rakyat,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan tidak akan pandang enteng calon pembangkang meskipun mereka bertanding di kawasan kubu kuat BN.
“Meskipun majoriti rakyat masih menaruh kepercayaan kepada BN, namun setiap calon BN tidak akan pandang ringan lawan mereka sebaliknya terus berusaha memastikan rakyat terus sokong kerajaan,” jelasnya.
Semalam, PAS Sarawak menamakan seorang calon tempatan berbangsa Iban untuk bertanding di kerusi Parlimen Sibuti selain menamakan dua lagi individu lain.
Mengulas lanjut, Jamali memberitahu semua rakyat termasuk parti komponen BN telah memberi persetujuan dan sokongan untuk mengekalkan Ahmad Lai sebagai calon pada pilihan raya akan datang.
“Secara peribadinya saya melihat pihak pembangkang terdesak untuk menang sehingga meletakkan seorang calon tempatan bagi mencabar kewibawaan calon BN yang juga daripada kalangan rakyat tempatan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment