Monday 9 April 2012

Hasrat PAS letak calon bukan Islam hanya dakyah politik: Wan Junaidi

Posted on April 8, 2012, Sunday


KUCHING: Hasrat PAS meletakkan calon bukan Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang hanya dakyah politik untuk mengelirukan rakyat.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, parti itu tidak tetap pendirian dan boleh bertukar warna pada bila-bila masa.
“Dulu mereka mempelopori negeri Islam sehinggakan semua orang diislamkan.
“Oleh kerana hendak menawan Putrajaya mereka berubah pendirian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan PAS hendak menyenaraikan calon bukan Islam pada PRU13 akan datang.
Menurutnya, usaha mereka membawa pemimpin bukan Islam masuk parti diibaratkan sebagai pelengkap semata-mata.
“Ini kerana Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) pernah menyatakan tidak mungkin pemimpin bukan Islam menjadi pemimpin atasan.
“Ia adalah dakyah politik PAS untuk mengelirukan rakyat dan meraih undi,” ujarnya.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, keadaan itu nampak bercanggah daripada perjuangan asal PAS.
“Bagaimana PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) boleh membawa kemajuan? Apa yang mampu mereka lakukan hanyalah bercerita.
“Jangan ingat PAS boleh bercakap betul kerana mereka tidak tetap pendirian dan segala-galanya bercelaru.
“Keadaan ini menyebabkan ramai di kalangan ahlinya keluar parti,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment