Monday 9 April 2012

Posted on April 8, 2012, Sunday

KUCHING: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) menyaksikan Tan Sri William Mawan dipilih sebagai Presiden dan Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai Timbalan Presiden baharu pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) SDNU, semalam.
Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial menggantikan bekas presiden sebelum ini, Mengga Mikui sementara Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit, menggantikan Dr John Brian Anthony Guang.
Mawan pada sidang media selepas TGA bagi penggal 2012 hingga 2015, memberitahu SDNU akan terus tampil ke hadapan dan tidak akan terhalang oleh masalah yang dihadapinya selama ini.
“Pertama sekali kami berharap masalah yang dihadapi selama ini tidak akan menghalang perjuangan SDNU, sebaliknya terus ke hadapan dan mengenal pasti segala yang perlu bagi memastikan SNDU terus relevan,” katanya.
Beliau berkata, masalah sememangnya perlu diselesaikan tetapi ia tidak semestinya mengekang pergerakan SDNU dan berharap ahli SDNU mengadakan banyak program kerjasama dengan NGO terutamanya NGO Dayak yang lain.
Katanya, kepimpinan SDNU yang baharu juga perlu berusaha untuk menjadikannya satu platform dan disertai lebih ramai kaum etnik Dayak yang lain di negeri ini.
“DBNA (Persatuan Kebangsaan Dayak Bidyuh) sebagai rakan dalam pertubuhan ini dan mereka juga merupakan sebahagian daripada SDNU mengikut perlembagaan kesatuan.
“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kebanyakan yang menganggotai SDNU adalah kaum Iban dan kami amat mengalukan penyertaan mereka dalam kesatuan ini sama seperti dahulu agar SDNU menjadi platform kepada Dayak,” tegasnya.
Katanya, perpaduan dan sokongan daripada kaum etnik Dayak lain amat penting bagi SDNU dalam menerajui era baru masa kini dan berharap penyertaan itu tidak dihalang disebabkan perbezaan pendapat, pendirian dan kepercayaan masing-masing.
Sementara itu, dalam ucapannya Mawan menegaskan kepada ahli-ahli SDNU agar berkongsi maklumat bersama dengan ahli di kawasan masing-masing bagi memajukan pertubuhan itu.
“Jangan terlalu mementingkan diri sendiri hanya kerana yang ini pembangkang dan manakala seorang lagi adalah kerajaan… perkara sebegini boleh kita selesaikan melalui mekanisme tertentu,” ujarnya sambil berkata, semua ahli perlu berusaha untuk mendapatkan ahli baharu mereka.
Kata beliau, bagi ahli yang merasakan dirinya tidak mampu lagi bergiat aktif, mereka dinasihatkan untuk memberi peluang kepada generasi baharu atau lebih muda untuk menjalankan tanggungjawab.
Pada pemilihan TGA itu, 10 jawatan tertinggi SDNU Penggal 2012-2015 yang dipertandingkan menang tanpa bertanding termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dan beberapa jawatan lain.
Antaranya Naib Presiden I disandang Anthony Banyan, Naib Presiden II Dato Sri Empiang Jabu, Naib Presiden III disandang Edward Awan.
Manakala Setiausaha Agung pula disandang Kilat Beriak, Penolong Setiausaha Agung (Thadeus Ling), Bendahari Agung (Christopher Gira), Penolong Bendahari Agung (Jackson Ding Jaraw) dan Pegawai Publisiti Ganchai Jinta.
Sementara tujuh daripada lapan ahli yang bertanding untuk ahli jawatankuasa telah menjadi ahli jawatankuasa baharu dan pada pemilihan itu, daripada 574 undi, sebanyak 68 undi rosak.


No comments:

Post a Comment