by Jessica Jawing. Posted on April 12, 2012, Thursday
Sokongan golongan muda kepada pembangkang sukarkan BN rampas kerusi
KUCHING: Sokongan kuat terutama generasi muda kepada parti politik pembangkang khasnya mungkin menjadi satu cabaran kepada Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula kerusi Parlimen Bandar Kuching.
Dengan senario politik dan kehendak rakyat yang semakin berbeza berbanding dahulu serta sistem penyampaian kepada rakyat juga penyumbang kepada sokongan akar umbi sesebuah parti.
Semalam temu bual bersama beberapa pemilik kedai di sekitar Jalan Padungan mendedahkan ada di kalangan mereka merasakan peluang BN untuk mendapatkan semula Parlimen di bawah Parti Tindakan Demokratik (DAP) kini di bawah penyandangnya Chong Chieng Jen satu perkara yang ‘sukar’.
Christy,25, seorang pemilik kedai runcit di Jalan Padungan berkata, sokongan padu daripada generasi muda kepada parti pembangkang, memberikan peluang tipis kepada BN untuk menawan semula kerusi Bandar Kuching.
“Sekarang ramai di kalangan belia atau golongan muda sudah beralih sokongan kepada parti pembangkang di sini dan ini menguatkan lagi parti itu.
“Ia agak sukar kepada BN tawan semula kerusi jika ia berterusan,” katanya yang merupakan generasi ketiga peneraju perniagaan keluarganya itu.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan kawasan berkenaan tidak ketinggalan daripada pembangunan yang kini dilihat semakin pesat.
“Pembangunan bandar raya Kuching terutama kawasan pusat bandar seperti di Padungan ini memang ada perubahan ketara,” katanya.
Namun sejak akhir-akhir ini kata beliau kunjungan ke kawasan itu semakin lengang dan sunyi terutama pada waktu malam berbanding dahulu.
Beliau memberitahu ia mungkin disebabkan kewujudan pusat-pusat beli-belah yang semakin rancak di kawasan lain.
Sementara itu pengurus pusat alat-alat ganti automobil yang hanya dikenali sebagai Yong merasakan DAP berpeluang untuk mengekalkan penguasaanya di kawasan itu.
“Bagi saya mungkin agak sukar untuk BN ambil alih kawasan ini, apatah lagi dengan senario politik masa kini.
“Ia bukan perkara senang kerana saya percaya ia (sokongan kepada pembangkang) masih berada di sana,” ujarnya yang merupakan generasi kedua perniagaan berkenaan.
Kata beliau, sistem penyampaian yang cekap oleh seorang wakil rakyat amat penting untuk mendapatkan sokongan.
Bagaimanapun dari segi pembangunan yang sedia ada, beliau tidak menafikan ia semakin pesat jika dibandingkan beberapa tahun lalu.
Kini katanya, rakyat boleh menikmati segala akses yang diberikan dan memudahkan mereka untuk pergi ke mana sahaja.
“Banyak premis dibina serta pejabat-pejabat sudah ada di sekitar kawasan ini dan ia menyenangkan masyarakat setempat,” katanya sambil memberitahu bahawa kedai milik mereka sudah wujud sejak 1929 lagi, dikendalikan moyangnya.
Namun baginya pembangunan yang diberikan amat dihargai namun apa yang penting sekali adalah keselamatan awam dan negeri tanpa sebarang bencana.
No comments:
Post a Comment