Posted on April 13, 2012, Friday
Kerajaan beri keutamaan kepada mereka dari segi agihan peruntukan dan projek
KUCHING: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada rakyat yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam agihan peruntukan dan projek-projek pembangunan.
Menteri Muda Kemudahan Awam Dr Jerip Susil berkata, pendirian itu bukan perangkap untuk rakyat menyokong BN tetapi ia adalah kenyataan dalam politik pembangunan negeri.
“Kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyokong mana-mana pihak yang mereka suka.
“Tetapi kenyataannya peruntukan adalah terhad dan ia amat diperlukan oleh mereka yang menyokong BN.
“Ini bukan perangkap. Tetapi ia hanya adil kepada mereka yang menyokong BN menerima peruntukan daripada kerajaan.
“Jika anda tidak mahu BN… dan ia hanya adil bahawa apa jua yang Barisan (Nasional) berikan kepada anda diberikan kepada mereka yang menyokong Barisan (Nasional),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) Sarawak Chapter di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini semalam.
Kenyataan Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh itu juga dilihat sebagai nasihat kepada rakyat agar berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk menyokong pembangkang.
Katanya, tindakan DAP untuk membuka cawangan di Mambong iaitu Siburan yang kebanyakan adalah pengundi Cina bukan satu kesalahan memandangkan negara kita adalah demokratik sepenuhnya.
Tetapi nasihat beliau, rakyat perlu dengar apa yang mereka hendak lakukan apatah lagi Siburan yang merupakan kawasan pinggir bandar dan semi luar bandar masih memerlukan banyak pembangunan daripada kerajaan.
“Ramai lagi penduduk kampung yang tidak ada bekalan air, elektrik dan kemudahan jalan. Jadi kita berikan kepada mereka yang menyokong Barisan (Nasional).
“Itulah kenyataannya. Saya bukan menakutkan mereka, peruntukan dan projek adalah terhad dan mereka yang menyokong BN akan diberikan keutamaan.
“Jika kita tidak berikan kepada mereka… mereka tidak akan menyokong kita pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Jerip berkata jentera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi Cina yang dilihat semakin tipis ketika ini.
Sokongan pengundi Bumiputera khasnya pengundi luar bandar dilihat masih kuat memandangkan mereka masih mengharapkan pembangunan daripada kerjaan BN.
Ditanya kemungkinan SUPP akan diterajui oleh pemimpin Dayak, Dr Jerip berkata buat masa ini ia tidak mungkin kerana pemikiran belum berubah ditambah dengan parti ini sendiri yang berasaskan Cina.
“Demi kepentingan bersama, SUPP mesti diterajui oleh pemimpin Cina sehingga pemikiran berubah dan tidak kira Cina, Iban, Melayu atau Bidayuh, asalkan berkebolehan sesiapa sahaja boleh memimpin SUPP,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment