Thursday, 12 April 2012

PAS tidak beri ruang mudah kepada BN

Posted on April 12, 2012, Thursday


MIRI: PAS mengumumkan pendirian mereka untuk tidak memberi ruang yang mudah kepada Barisan Nasional (BN) memenangi mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang walaupun terpaksa meletakkan calon daripada kaum Iban.
Ketua Penerangan PAS Sarawak Mohd Azwani Abdul Rani semalam mengesahkan parti itu akan meletakkan dua calon Iban untuk bertanding mewakilinya iaitu di kerusi Sibuti dan satu lagi, sama ada di kerusi Igan atau Tanjung Manis.

“Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya negeri yang lepas, PAS kali ini amat yakin akan memenangi beberapa kerusi ekoran sokongan rakyat negeri ini yang semakin meningkat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sidang media tersebut adalah untuk memberitahu mengenai persiapan menyambut ketibaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau Mat Sabu ke Miri pada 13 April ini.

Calon Iban di Sibuti yang sudah disahkan ialah Bobby Zaid Tadang yang berasal dari Miri, manakala untuk kerusi yang satu lagi, proses untuk mengenal pasti calon paling layak sedang dilakukan.

Menurut Mohd Azwani lagi, tindakan PAS meletakkan dua calon profesional Iban di kerusi berkenaan kelak, adalah untuk membuktikan kesediaan dan dedikasi parti itu untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini tanpa memilih bangsa dan agama, sekali gus ia akan membersihkan isu ‘cawat’ yang heboh diperkatakan sedikit masa dahulu.

“Kami pasti akan memberi tentangan sengit kepada BN di 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini, dengan PAS akan meletakkan lapan calon di bawah persetujuan Pakatan Rakyat kelak.

“Kami jamin tak akan ada kemenangan tanpa bertanding untuk BN kali ini,” katanya.

Azwani yang juga setiausaha PAS Miri berkata lapan kerusi yang akan ditandingi oleh calon PAS dalam PRU kelak ialah Sibuti, Igan, Tanjung Manis, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Kanowit dan Limbang.

Manakala dua parti Pakatan Rakyat yang lain iaitu DAP dan PKR akan bertanding di 22 kerusi lain.

Pada masa yang sama katanya, Pakatan Rakyat akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain, sama ada yang telah diluluskan pendaftaran atau belum dan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan, termasuk Sarawak Workers Party, untuk meraih sokongan rakyat.

Sementara itu, dalam pilihan raya negeri yang lepas, PAS telah meletakkan 12 calon dan walaupun kalah, ia tidak hilang wang pertaruhan, sekali gus menunjukkan parti itu mempunyai penyokong dan pengundinya sendiri.

Ditanya mengenai isu yang akan dibangkitkan oleh PAS kelak, Azwani memberitahu parti itu akan mempergunakan isu-isu yang kecil sekali pun untuk memenangi hati rakyat, dengan menghadiri majlis-majlis di peringkat kampung dan rumah-rumah panjang.

Sementara itu, untuk program di Miri, beliau berkata PAS akan mengadakan majlis ramah-tamah masyarkat di dewan serba guna Taman Tunku, Miri pada 13 April ini, bermula jam 8 malam dan Dialog Bersama Pakatan Rakyat di Kelab Gymkhana Miri (GCM) pada 14 April, juga pada jam 8 malam.

No comments:

Post a Comment