SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) yakin dapat merampas kerusi Parlimen Sarikei daripada tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui berkata, kemenangan tipis yang penuh kontroversi oleh calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Ding Kuong Hiing dengan majoriti 51 undi pada PRU12 yang lepas mampu menjadi motivasi untuk DAP merampas kerusi tersebut.
“Kekalahan tipis DAP pada PRU12 yang lalu adalah petanda buat kita untuk menang pada kali ini. Ini dapat dipastikan lagi oleh rakyat di konsituensi Sarikei yang turut menyokong sepenuhnya terhadap kepimpinan DAP,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo semasa menyampaikan bantuan projek membina jalan di Rumah Suring Sana di Sungai Tulai, Bintangor dekat sini, Jumaat lepas.
Ting memberitahu bahawa sokongan rakyat di kawasan tersebut telah meyakinkan DAP untuk menang kali ini kerana sering turun padang ke kawasan rakyat serta mendengar masalah mereka.
“Apa yang kami boleh bantu, kami bantu. Itulah konsep DAP bekerja untuk rakyat.
“Dari situ kami tahu bahawa sokongan rakyat di konsituensi Parlimen Sarikei adalah berpihak kepada DAP pada kali ini.
“PRU12 yang lalu menyaksikan BN hanya menang tipis yang dikaitkan dengan beberapa kontroversi sebelum disahkan menang dengan rasminya. Ia adalah seperti berhempas-pulas untuk menang dan bukannya menang selesa,” tegasnya.
Menurutnya, DAP sentiasa mempersiapkan jenteranya untuk PRU13 yang akan datang dan telah bersiap sejak awal lagi sehingga DAP keluar untuk mencari masalah rakyat sehingga ke pedalaman konsituensi Parlimen Sarikei.
“DAP mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Iban khususnya di kawasan pedalaman.
“Ia tiada masalah untuk DAP dan kami mengutamakan pengundi di kawasan luar bandar serta pedalaman.
“Kami sebenarnya maklum bahawa pengundi di kawasan bandar banyak memihak kepada kami berdasarkan rekod pada PRU12 yang lalu,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau mempunyai minat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sarikei setelah menang besar pada pilihan raya DUN yang lalu, Ting berkata ia terpulang kepada pengerusi DAP Negeri Sarawak untuk mengumumkannya kelak.
“Soal minat atau tidak, saya tidak dapat jawab pertanyaan anda (wartawan). Tunggu dan lihatlah apabila sampai masanya nanti,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau akan mengatasi masalah bekalan elektrik dan jalan raya di kawasan Tulai, Bintangor untuk dibawa pada Persidangan DUN nanti bagi diatasi oleh pihak yang berkenaan.
Dalam pada itu, pada penyerahan bantuan projek tersebut, Ting turut menyampaikan bantuan berbentuk simen, dawai dan pasir bagi membantu rakyat di Rumah Suring membina jalan menuju ke jambatan rumah panjang tersebut.
Jumlah kos projek tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM12,000 dan kerja-kerja membina jalan terbabit adalah dijalankan secara bergotong-royong oleh penduduk di rumah panjang itu.
Pada PRU12 yang lalu, kerusi Parlimen Sarikei terlibat dalam pertandingan lima penjuru oleh Ding (BN-SUPP), Lau Kieng Chai (Bebas), Dr Wong Hua Seh (DAP), Kung Chin Chin (Bebas) dan Ngu Tieng Hai (Bebas).
Ding meraih 10,588 undi diikuti Dr Wong, 10,537 undi sementara Kung, Lau dan Ngu hilang wang deposit apabila masing-masing mendapat 545 undi, 116 undi dan 105 undi.
Majoriti 51 undi telah membolehkan Ding menang tipis sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Sarikei setelah penyandangnya Datuk Seri Law Hieng Ding tidak dicalonkan pada PRU12.
No comments:
Post a Comment