KUCHING: Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) yang baharu, Tan Sri William Mawan Ikom berjanji akan meneliti dengan lanjut isu projek Rumah Dayak yang telah tergendala sejak 10 tahun lalu.
Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, beliau tidak tahu tentang masalah sebenar yang berlaku dalam isu projek berkenaan dan akan membincangkannya bersama ahli-ahli SDNU lain.
Projek terletak di Jalan Satok itu yang dimulakan pada tahun 1997 bukan sahaja gagal dilaksanakan, malah bangunan yang bakal menjadi simbol perpaduan Dayak itu kini semakin uzur.
“Saya akan meneliti perkara ini dan membincangkannya bersama ahli jawatankuasa lain untuk mengetahui masalah sebenar dan kemudian mendapatkan penyelesaian sama ada jangka panjang atau jangka pendek.
“Kita amat berharap ia dapat diteruskan dan kita juga mungkin memerlukan bantuan atau pendapat daripada orang lain termasuk dari luar untuk mencapai penyelesaian terbaik dalam projek ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) Ke-33 SDNU di sini, semalam.
Mawan dilantik sebagai Presiden baharu penggal 2012-2015 pada TGA itu dan menang tanpa bertanding bagi menggantikan bekas presiden bagi penggal 2010-2012, Mengga Mikui.
Kerja-kerja ke atas projek Rumah Dayak itu dikatakan tidak dapat dilaksanakan atas beberapa masalah yang agak rumit.
Malahan, disebabkan pelan lukisan dan struktur bangunan tidak diluluskan oleh Majlis Bandaraya Kuching pada ketika itu, maka kerja-kerja pembinaan tidak dapat diteruskan.
Perjanjian telah ditandatangani antara SDNU dan pemaju pada tahun 1997 yang mana pemaju diberikan 80 peratus daripada pemilikan harta manakala SDNU menerima 20 peratus.
Kontrak projek berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pemaju lain dan kerja-kerja pembinaan gagal dilaksanakan akibat masalah kewangan.
Selepas tiga kali mesyuarat bersama pemaju, pengesahan dibuat dengan pemaju bahawa tempoh pelaksanaan dilanjutkan sehingga 29 Januari 2009, namun sekali lagi projek yang menelan kos sekitar RM8 juta itu gagal mengikut jadual.
No comments:
Post a Comment