Wednesday 3 April 2013

BN sedia hadapi PRU-13



Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 April - Segala urusan penting Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 difahamkan telah dipersiapkan sepenuhnya.

Antaranya, senarai calon bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dimuktamadkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu dimuktamadkan selepas Najib yang juga Perdana Menteri mengadakan beberapa siri perbincangan dengan barisan pimpinan UMNO, parti-parti komponen, menteri-menteri besar serta ketua menteri bagi negeri-negeri dikuasai BN.

Manifesto BN juga akan dilancarkan beberapa hari selepas Parlimen dibubarkan.

Esok, Putrajaya akan menjadi tumpuan kerana desas-desus yang berlegar mengatakan Najib akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet dipercayai mesyuarat terakhir sebelum pilihan raya umum diadakan.

Esok juga genap empat tahun Najib mentadbir negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan boleh berlaku pada bila-bila masa dari sekarang, lebih-lebih lagi setelah pelbagai program Najib termasuk turun padang dan siri bantuan kepada rakyat selesai dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri masih mempunyai mandat sehingga 30 April bagi memenuhi tempoh lima tahun pemerintahan.

Selepas tarikh tersebut, Parlimen akan bubar secara automatik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai masa selama 60 hari untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Setakat ini, spekulasi berhubung bila tarikh pilihan raya yang dibuat pelbagai pihak ternyata meleset.

Pada 28 Mac lalu, SPR menerima watikah rasmi pembubaran Sidang DUN Negeri Sembilan ke-12, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di negara ini.

Pembubaran Sidang DUN bagi negeri lain adalah seperti berikut : Pahang (7 April); Melaka (21 April); Johor (21 April); Selangor (22 April); Perak (25 April); Perlis (28 April); Kelantan (28 April); Pulau Pinang (2 Mei) manakala Terengganu, Kedah dan Sabah (5 Mei).

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment