Dakwaan sedemikian harus dibuang daripada kotak pemikiran pemilik tanah NCR, kata Asfia
NIAH: Dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) merampas tanah Hah Adat Bumiputera (NCR) harus dibuang jauh dari kotak pemikiran pemilik tanah NCR sebaliknya kerajaan sebenarnya melindungi hak mereka.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan tidak pernah berhasrat untuk merampas tanah NCR rakyat sebaliknya memastikan hak mereka sentiasa terpelihara.
“Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah melindungi hak pemilik NCR sejak 1965 dan beliau adalah individu yang menentang rancangan penukaran status tanah NCR.
“Ia jelas membuktikan bahawa kerajaan BN tidak pernah bertindak mengambil tanah rakyat bahkan melaksanakan penyukatan perimeter tanah NCR bagi melindungi hak pemilik tanah,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Duat Kelitang, Niah malam kelmarin.
Awang Tengah memberitahu, penyukatan perimeter tanah NCR telah dilakukan selepas kerajaan mengambil kira kepentingan pemilik tanah seterusnya melaksanakan penyukatan tanah secara berperingkat.
“Kerajaan pusat telah memberi peruntukan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program penyukatan tanah NCR dan ia dilakukan secara percuma dan berperingkat tanpa meminggirkan mana-mana pemilik NCR,” tegasnya.
Rakyat katanya, tidak perlu mendengar khabar angin yang ditimbulkan Radio Free Sarawak dan Global Witness pada musim pilihan raya ini, yang kononnya kerajaan merampas tanah NCR di kawasan luar bandar.
“Tiada sebab kerajaan mahu merampas tanah rakyat sebaliknya isu ini sengaja dimanipulasi oleh pihak tertentu yang didalangi pembangkang bagi meracuni dan mengelirukan pengundi ketika ini.
“Pelbagai isu akan timbul pada musim pilihan raya dan saya menegaskan bahawa tanah NCR akan kekal milik rakyat dan kerajaan BN akan memelihara hak mereka,” jelasnya.
Awang Tengah memberitahu, kerja-kerja penyukatan tanah NCR dilaksanakan secara berperingkat berikutan kawasan muka bumi Sarawak yang luas serta tanah NCR bertaburan di satu-satu kawasan.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah menasihati pengundi supaya terus kekal bersama kerajaan BN bagi meneruskan kelangsungan kemajuan di bawah kepimpinan cemerlang Ketua Menteri.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, calon BN Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Ripin Lamat, ADUN Bekenu Rosey Yunus dan Ketua Kaum Rumah Duat Kelon.- theborneopost
No comments:
Post a Comment