HIDUP BN: Simatzaman (depan lima kiri), Dr Rahman, Hasbi disambut penuh bersemangat oleh penduduk Kampung Limpaku Pinang semasa turun berkempen di Limbang semalam.
LIMBANG: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar berwaspada dan sentiasa bersedia dengan taktik pihak lawan yang sanggup memutar belit fakta termasuk memainkan isu panas sepanjang tempoh 15 hari berkempen.
Calon BN Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata ada pihak yang sanggup menyebarkan fitnah dalam pelbagai cara hanya semata-mata untuk menipu rakyat.
Jelasnya, taktik itu kerap berlaku hanya dalam tempoh berkempen demi mendapatkan kepercayaan orang ramai agar rakyat lupa dengan kebaikan kerajaan BN selama ini.
“Pihak lawan sanggup menyebarkan pelbagai cerita dongeng sepanjang tempoh berkempen ini untuk ‘cari makan’ selain meraih undi masyarakat walaupun dengan cara salah,” katanya semasa berkempen di Kampung Limpaku Pinang, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Naib Pengerusi PBB Bukit Kota Mohamad Abu Bakar, Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatzaman Sapar dan jentera BN Limbang.
Hasbi berkata, dalam tempoh tersebut juga wujud pemimpin yang hanya kelihatan semasa berkempen tetapi jarang kelihatan pada hari-hari biasa.
“Sebab itu, kita sentiasa ingatkan jentera BN serta pengundi di daerah ini agar sentiasa berwaspada, bertahan dan berjuang sehingga ke titisan keringat yang terakhir (PRU13),” ujarnya.
Hasbi menjelaskan, rakyat seharusnya tidak mudah percaya demi memastikan segala program pembangunan yang dilakukan BN termasuk Wawasan 2020, hasrat mencapai negara berpendapatan tinggi dan program pembangunan lain tidak lebur gara-gara percayakan hasutan dan fitnah yang ditabur sepanjang tempoh berkempen ini.
Beliau berkata pelbagai program pembangunan, kemudahan dan prasarana asas sudah dilaksanakan di setiap kawasan termasuk di sebelah Hulu Medamit dan Kuala Limbang sejak lima tahun lalu.
“Agenda pembangunan kerajaan ini tidak pernah terhenti dan akan diteruskan kerana BN sentiasa bekerja dan bukan hanya pada pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan mengenai Kampung Limpaku Pinang yang tidak ketinggalan arus pembangunan yang kini dinikmati oleh penduduk yang kebanyakannya golongan nelayan. - theborneopost
No comments:
Post a Comment