Dakwaan Azmin bahawa PR telah menguasai 125 kerusi Parlimen di seluruh negara adalah tidak tepat: Wan Junaidi
KUCHING: Dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang mengata-kan Pakatan Rakyat (PR) telah menguasai 125 kerusi Parlimen di seluruh negara merupakan perang psikologi untuk menakut-nakutkan pengundi.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata apa yang didakwa Azmin itu adalah tidak tepat kerana mereka juga banyak membuat dakwaan lain.
Menurutnya, pada 16 September 2008, PKR mendakwa beberapa wakil rakyat BN menyertai mereka namun ia tidak berlaku.
“Dia (Azmin) sebenarnya main perang psikologi dengan mengatakan mereka menang dan hampir sampai ke Putrajaya.
“Ia merupakan taktik pembangkang untuk menakut-nakutkan pengundi,” katanya kepada pemberita semasa Program Belia Bermotosikal Belia 12 di Kampung Santubong semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Azmin Ali bahawa PR telah menguasai 125 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Azmin dipetik sebagai berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan sambutan orang ramai terhadap ceramah yang diadakan PKR, DAP dan PAS.
Wan Junaidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Santubong untuk dua penggal menjelaskan, sebenarnya PR amat terdesak sehingga sanggup melakukan pelbagai helah untuk menawan Putrajaya.
Menurutnya PR mungkin membuat dakwaan sedemikian tetapi BN juga berkeyakinan mampu menang dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya yakin usaha yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk membawa perubahan menunjukkan BN amat berjaya sekali dalam mentadbir negara.
“Masyarakat yang berfikiran matang akan memberi sokongan padu kepada BN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Ju-naidi merancang mewujudkan lebih banyak gelanggang petanque di Parlimen Santubong dalam usaha mempromosi dan mempopularkan sukan itu.
“Kita boleh lihat Kampung Santubong merupakan tumpuan masyarakat untuk bermain petanque.
“Pada masa sama kehadiran ramai orang untuk bermain sukan ini (petanque) dapat memperkasa sektor pelancongan di kawasan ini yang mempunyai banyak produk pelancongan,” jelasnya.- theborneopost
No comments:
Post a Comment