MIRI: Impian pembangkang mewujudkan sebuah kerajaan baharu pada 5 Mei ini sebagai mana yang tertera pada sepanduk kempen ‘505 Ubah, Kerajaan Baru, Harapan Baru’ yang dipasang di Kuching hanyalah impian kosong.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata slogan itu bermaksud pada 5 Mei nanti, mereka (pembangkang) akan mewujudkan sebuah kerajaan baharu yang membawa harapan baharu.
Namun, katanya, sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008, pembangkang menggunakan slogan yang sama dan begitu juga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.
“Kita telah banyak kali dengar pembangkang cakap perkara yang sama. Namun, tidak ada perubahan berlaku pada 16 September 2008, malah pada PRN 2011 kerajaan BN negeri mendapat kemenangan dua pertiga sekali gus membolehkan mentadbir negeri ini,” katanya.
Justeru, pada pilihan raya kali ini nampak gayanya pembangkang sudah ketandusan idea dan oleh sebab itu mereka melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada barisan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberitahu demikian kepada wartawan ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan (SK) South, di sini semalam.
Dalam pada itu, ditanya isu rasuah yang masih dibangkitkan pembangkang pada sepanduk kempen PRU13 di sini, beliau berkata: “Jika benar pembangkang mempunyai bukti tentang kes-kes rasuah sebagaimana yang mereka dakwa kenapa tidak melaporkannya kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan”.
“Sehubungan itu, saya ingin mencabar Ketua PKR Miri, Dr Teo (Dr Michael Teo Yu Kheng) kalau benar dia ada bukti tentang rasuah, pergilah buat laporan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
“Jangan sekadar menuduh kita rasuah. Kalau ada bukti, tunjukkan kepada pihak berkuasa serta buat laporan dan pada masa sama mereka orang pertama yang harus bekerjasama dengan menunjukkan bukti kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes berkenaan,” katanya.
Lagipun, ujar Chin, dalam 10 deklarasi yang diperkenal SUPP baru-baru ini, mereka tidak akan berkompromi dengan rasuah dan kalau ada bukti mereka akan membuat laporan kepada SPRM dan tidak sekadar melalak seperti pembangkang.
“Oleh itu, janganlah melemparkan sebarang tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kepada kerajaan BN serta mengelirukan rakyat yang semata-mata bertujuan memancing undi menjelang pilihan raya ini,” katanya.-theborneopost
No comments:
Post a Comment