SUPP selar pihak guna nama parti tipu orang ramai untuk dapatkan wang
MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini semalam menyelar pihak yang menggunakan nama parti itu untuk menipu orang ramai khususnya golongan berusia, untuk mendapatkan wang.
Kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi SUPP Cawangan Piasau Datuk Sebastian Ting berkata ia bukan sahaja memburukkan imej SUPP malah juga Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Beliau yang juga calon BN di kerusi Parlimen Miri, berkata golongan tersebut bukan daripada mana-mana parti pun, tetapi segelintir pihak yang cuba melakukan jenayah menipu untuk mendapatkan duit yang banyak dengan mengambil kesempatan pada musim pilihan raya ini.
“Apa yang mengecewakan ialah mereka menggunakan nama parti dan presiden parti (Datuk Seri Peter Chin) dengan menyamar menjadi ahli parti untuk menipu terutama golongan yang berumur dan warga tua.
“Mereka dengan sembarangan mereka-reka cerita kononnya mahu mendapatkan wang bagi tujuan kebajikan dan sebagainya dan apabila BN atau SUPP menang mangsa kononnya akan mendapat jumlah wang yang berganda (daripada yang dilaburkan),” katanya.
“Di sini ingin saya tegas, kami dalam SUPP dari mana-mana bahagian atau cawangan, tidak pernah menganjurkan aktiviti seperti itu atau melantik mana-mana ahli untuk mengutip wang daripada orang awam,” katanya.
Justeru beliau mengingatkan orang awam yang didatangi dua atau tiga orang yang mencurigakan dan menawarkan bantuan atau sebagainya menggunakan nama SUPP atau BN namun pada masa yang sama meminta sejumlah wang, maka mereka perlu berwaspada, jangan menyerahkan wang mereka sebaliknya ambil gambar mereka yang terbabit sebagai bukti.
“Mereka boleh membawanya kepada kami (SUPP) untuk dilaporkan kepada pihak polis atau membuat laporan terus ke balai polis berhampiran dengan menunjukkan bukti tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat SUPP Bahagian Piasau di sini, petang semalam.
Sebastian berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian yang berlaku di Kampung Katong, Lopeng di sini, apabila seorang warga emas berusia 60-an mendakwa dia didatangi tiga lelaki berbangsa Cina mendakwa mereka adalah ahli SUPP dan mahu menawarkan bantuan kepadanya untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Mangsa yang berasa curiga apabila ketiga-tiga mereka mulai meminta sejumlah wang sebagai bayaran untuk ‘bantuan’ yang dihulurkan, telah bertindak menghubungi salah seorang ahli SUPP yang dikenalinya.
Bagaimanapun sebaik ketiga-tiga pemuda tersebut menyedari kedatangan ahli SUPP yang sebenar, mereka kemudian terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta, yang sempat dicatatkan nombor pendaftarannya oleh mangsa.
Menurut Sebastian perkara tersebut tidak dilaporkan kepada polis hanya kepada pihak parti dan sehubungan itu SUPP terus menasihati orang awam agar tidak tertipu dengan helah seperti itu.
“Kami amat berharap tiada yang sudah tertipu dengan insiden seumpama itu dan jika ada, mereka digalak datang ke pejabat SUPP untuk melaporkannya berserta dengan bukti, jika ada,” tambahnya.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi SUPP Bahagian Pujut Andy Chia.
Sementara itu mengenai isu perjudian yang membabitkan pertaruhan ke atas keputusan PRU13 ini, Sebastian berkata beliau kesal ada pihak cuba memperjudikan diri sendiri dan masa depan negara kerana perjudian tersebut boleh mempengaruhi keputusan sebenar pilihan raya kelak.
Sebuah akhbar berbahasa Cina semalam melaporkan sumber mereka memberitahu ramai bertaruh bahawa Sebastian akan menang majoriti 2,000 undi dan ke atas dan tidak kurang yang bertaruh ke atas calon PKR Dr Michael Teo.- theborneopost
No comments:
Post a Comment