Thursday 25 April 2013

Baru Bian yakin mempunyai peluang di Parlimen Limbang



BARU
KUCHING: Calon PKR Parlimen Limbang Baru Bian semalam memberi keyakinan bahawa parti mempunyai peluang untuk memenangi kerusi berkenaan pada Pailihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai semasa ceramah diadakan.

Baru yang juga pengerusi PKR Negeri mendakwa selepas tiga siri ceramah ‘warm up’ sebelum ini, kini ceramah yang dijalankannya mendapat sambutan termasuk daripada golongan muda.

“Setiap tempat kami pergi adakan ceramah, kami mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk, malah sambutan ini di luar jangkaan saya.

“Kami meramalkan parti berpeluang memenangi kerusi Limbang dan saya menyifatkan peluang itu 50:50, bagaimanapun peluang sahaja tidak mencukupi kerana saya perlu berusaha gigih untuk ini,” katanya pada sidang media melalui sidang video di ibu pejabat PKR di sini, semalam.

Baru menegaskan bahawa sambutan menggalakkan itu menjadi pentunjuk kepada parti bahawa ia sudah mula diterima masyarakat di Limbang dan menyifatkan masyarakat mahukan perubahan dalam kerajaan.

Katanya ceramah yang diadakan baik di kawasan bandar mahupun rumah panjang itu mendapat sambutan daripada masyarakat pelbagai kaum di Limbang.

“Mereka mahukan kerajaan baharu, dengan itu kami akan berusaha gigih dan saya percaya Limbang masih mampu mencapai pembangunan nanti,” katanya.

Parlimen Limbang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Baru dan Hasbi Habibollah (BN).

Sementara itu ditanya mengenai khabar angin terdapat beberapa pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang tidak berpuas hati di Saratok yang membawa kepada peralihan sokongan kepada calon PKR Ali Biju, Baru berkata: “Selain sokongan di peringkat akar umbi, kami turut menerima sokongan menggalakkan untuk calon di Saratok, malah kami dimaklumkan terdapat pemimpin SPDP turut menyokong calon di kerusi berkenaan.”

Manakala mengulas mengenai sokongan salah seorang pengasas PRS Assan Ngang terhadap beliau, Baru berkata beliau percaya Assan tetap menyokongnya kerana mereka sebelum ini pernah bersama-sama dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). - theborneopost

No comments:

Post a Comment