KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan perjuangan pembangkang kerana mereka hanya memperjuangkan kepentingan individu.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Roland Sagah We Inn berkata ia berbeza dengan perjuangan Barisan Nasional (BN) iaitu membela semua bangsa manakala pakatan pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjuang untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, sejak 50 tahun lalu kerajaan begitu prihatin terhadap nasib rakyat kerana ia sememangnya perjuangan kerajaan BN.
“PAS, DAP dan PKR pula masing-masingnya mempunyai agenda sendiri dan tidak boleh bekerjasama.
“BN pula yang terdiri daripada 14 parti komponen mengutamakan semangat kesatuan dan berganding bahu menjaga kepentingan semua bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Projek Getah Berkelompok Pan Buu di Kampung Stabut, Padawan kira-kira 65 kilometer dari sini.
Hadir sama pada majlis itu calon BN Parlimen Mambong merangkap Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri James Dawos Mamit.
Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat menegaskan bahawa selama 50 tahun merdeka dalam Malaysia, Sarawak menikmati pembangunan ketara di bawah BN dengan hampir semua rakyat kini menikmati prasarana asas.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat agar bijak membuat keputusan pada hari mengundi nanti kerana undi mereka akan menentukan hala tuju negara dan masa depan generasi muda.
“Jangan kerana rasa tidak puas hati, marah dan sebagainya, generasi muda yang bakal menjadi mangsa.
“Tidak akan ada pihak yang membela rakyat khususnya orang Bidayuh kecuali BN dan ini terbukti,” ujar Sagah yang juga pengerusi Lembaga Sungai Sarawak.- theborneopost
No comments:
Post a Comment