Monday 29 April 2013

Taib mahu semua kawasan membangun sebelum bersara

MARUDI: Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud akan memastikan pembangunan di seluruh Sarawak tercapai sebelum beliau mengundur diri daripada arena politik.

Menurutnya, ada beberapa kawasan yang masih beliau kenal pasti belum dilanda arus pembangunan hebat dan ketara.

“Sebelum saya bersara, saya mahu beberapa kawasan khususnya di luar bandar dan pedalaman dibangunkan terlebih dahulu,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Marudi, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Pembangunan Komuniti Datuk Peter Nansian Ngusie, Ahli Dewan Negara Senator Lihan Jok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, calon BN Parlimen Baram Anyi Ngau dan Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis.

Seperti kawasan Baram, beliau memberitahu pembangunan tidak dapat hanya bergantung kepada sektor pembalakan dan pertanian.

Sebaliknya, satu perancangan lebih besar harus dilaksanakan untuk membawa perubahan kepada wajah kawasan berkenaan daripada aspek ekonomi dan pembangunan.

“Jika kita bergantung kepada pembalakan dan pertanian sahaja, semuanya masih tidak cukup untuk menampung kos membawa pembangunan secara keseluruhan,” jelasnya.

Oleh itu, beliau mempunyai pelan terperinci melalui kewujudan Bandar Baharu Telang Usan yang difikirkannya pakej terbaik untuk masa depan dan pembangunan Baram.

Melalui bandar baharu berkenaan, lebih banyak aktiviti ekonomi yang bakal tumbuh serta memberikan lebih manfaat kepada rakyat di seluruh kawasan itu.

Taib turut memberitahu bahawa beliau atau kerajaan sama sekali tidak berniat mahu menindas atau merampas hak rakyat, sebaliknya ingin melihat rakyat hidup lebih senang.

“Begitu juga dengan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang turut berfungsi sebagai ejen pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bagi negeri ini.

“Selain pembangunan, pelbagai perancangan tersebut juga memfokuskan kepada hala tuju negara iaitu ke arah rakyat berpendapatan tinggi,” katanya.-theborneopost

No comments:

Post a Comment