Wednesday 24 April 2013

Slogan ‘Jom Ubah’ PR tidak relevan

LIMBANG: Slogan ‘Jom Ubah’ yang dilaungkan Pakatan Rakyat (PR) tidak relevan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa melakukan perubahan sejak memerintah negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata rakyat sudah pandai menilai segala perubahan yang dilaksanakan kerajaan di setiap pelosok kawasan.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pelbagai transformasi melalui konsep 1Malaysia (Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan) yang jelas memberi keistimewaan kepada segenap lapisan masyarakat negara ini.

“Slogan ‘Ubah’ yang dibawa PR tidak boleh dipakai kerana kerajaan BN sudah lama berubah dan perubahan itu berlaku di mana-mana dan setiap masa,” katanya ketika berkempen bersama calon BN Parlimen Limbang Hasbi Habibollah di Kampung Limpaku Pinang semalam.

Turut sama Naib Pengerusi PBB Bukit Kota Mohamad Abu Bakar, Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatzaman Sapar dan jentera BN Limbang.

Dr Rahman menjelaskan, Perdana Menteri berjaya melakukan transformasi dan kepimpinannya wajar dicontohi kerana paling setia kepada BN.

“Sejak Najib menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya membawa banyak perubahan setiap hari di bawah konsep 1Malaysia.

“Malah, banyak produk dan keistimewaan yang diberikan Najib kepada rakyat sejak memimpin negara ini se-hingga meletakkan BN sebagai kerajaan yang membela nasib rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mahu masyarakat di daerah ini termasuk penduduk di Kampung Limpaku Pinang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN dengan memberi undi kepada Hasbi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) 5 Mei nanti.

Katanya Hasbi merupakan calon boleh menang yang begitu dekat di hati rakyat dan atas sebab itu kepimpinan di peringkat pusat dan negeri memberi kepercayaan kepadanya sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Limbang.

“Kita tidak mahu satu undi pun jatuh ke tangan pembangkang demi memastikan BN memperolehi kemenangan besar pada 5 Mei nanti,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembangunan di kampung terbabit, Dr Rahman berkata kerajaan membelanjakan RM10 juta melibatkan RM5 juta bagi projek bekalan air terawat serta RM5 juta lagi bagi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang kini dalam proses pembinaan.

Katanya kerajaan turut menyediakan dua set jana kuasa elektrik kepada 300 penduduk membabitkan 40 rumah di Kampung Limpaku Pinang sejak 2006 untuk menjalankan aktiviti harian sementara menanti siapnya BELB tahun ini.

“Projek pembangunan ini menunjukkan kerajaan BN tidak pernah mengabaikan penduduk di pedalaman termasuk di Kampung Limpaku Pinang yang terpisah dari dunia luar walaupun terletak di pintu masuk Limbang jika melalui laluan laut,” katanya.

Kampung Limpaku Pinang terletak di Kuala Sungai Limbang hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai yang mengambil masa 30 minit perjalanan dan terletak 17 kilometer daripada bandar Limbang.

Kebanyakan penduduknya terdiri daripada golongan nelayan yang mengusahakan industri kecil dan sederhana berasaskan hasil tangkapan ikan.- theborneopost

No comments:

Post a Comment