Sunday 28 April 2013

Masalah bekalan air bersih di Selangau diselesaikan: Taib

BINTULU: Masalah bekalan air bersih di kawasan Selangau akan diselesaikan dengan pelaksanaan projek menggunakan tangki air ‘Life Saver’ bernilai RM4 juta.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata projek menggunakan teknologi nano dan dapat menapis mana-mana sumber air seperti sungai dan hujan untuk dijadikan sumber minuman serta kegunaan harian itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di Selangau dalam masa terdekat ini dan merupakan projek berterusan sehingga 2015 nanti.

“Semua ini adalah bagi memastikan penduduk di kawasan Selangau terutamanya di kawasan pedalaman mendapat bekalan air bersih seterusnya menamatkan masalah bekalan air bersih yang membelenggu mereka,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Jalan Akses Awam dari Sangan ke Kapit di kawasan lapang tapak permulaan projek Jalan Tatau-Sangan di sini petang semalam.

Taib menjelaskan, projek pembekalan teknologi air bersih itu nanti akan membantu penduduk setempat mengatasi masalah mendapatkan bekalan air bersih apabila kawasan tadahan air (tradisional) digunakan mereka terjejas akibat aktiviti perladangan atau projek perindustrian.

Beliau berkata rakyat di kawasan Selangau harus bersabar sementara menunggu projek itu dilaksanakan memandangkan ia perlu dibuat berdasarkan penelitian terlebih dahulu serta diadakan secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan.

Taib turut mengumumkan berita baik bahawa jalan akses awam dari Sangan ke Kapit melalui kawasan perlombongan arang batu Nanga Merit apabila siap nanti akan memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi penduduk.

“Saya berkeyakinan industri hiliran di kawasan Sangan hasil daripada lonjakan projek SCORE akan membantu penduduk setempat memperolehi purata pendapatan RM2,000 ke atas memandangkan laluan jalan Sangan-Kapit ini bakal menjadi laluan para pekerja serta golongan profesional yang datang bekerja atau melawat kawasan terbabit,” jelasnya.

Katanya inilah yang diinginkan oleh kerajaan bahawa selain meningkatkan peluang pekerjaan buat penduduk tempatan, industri hiliran turut berkembang di kawasan Sangan dan daerah kecil Tatau secara keseluruhannya terutama sektor ekonomi, pertanian dan sebagainya yang boleh mendatangkan keuntungan.

“Justeru, rakyat di kawasan Selangau harus terus memberi sokongan kuat terhadap Barisan Nasional (BN) kerana hanya BN sahaja yang mampu memenuhi keperluan rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Taib berkata kerajaan negeri bukan sahaja mementingkan pembangunan di kawasan bandar namun melaksanakan projek pembangunan di luar bandar bagi memastikan kemajuan di kedua-dua kawasan seimbang dan sentiasa dipertingkatkan.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.-theborneopost

No comments:

Post a Comment