Thursday 25 April 2013

Peralihan kuasa harus dirancang: Taib



SELAMAT DATANG: Taib diiringi (dari kiri) Liu, Lu dan Yong serta yang lain sejurus tiba pada Majlis Makan Malam Pelantikan Persatuan Ketua-ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Kuching di Kuching, malam kelmarin.

Generasi muda harus direkrut teruskan kesinambungan kesejahteraan, keharmonian

KUCHING: Sarawak harus mempunyai perancangan untuk peralihan kuasa dengan merekrut lebih ramai generasi muda untuk meneruskan kesinambungan kesejahteraan dan keharmonian kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata meskipun corak organisasi dan politik masih memihak kepada golongan jauh lebih tua, namun pada masa akan datang ia akan diturunkan kepada golongan muda.

Menurut beliau, ia memang sepatutnya kerana masa depan negeri ini akan ditentukan oleh generasi muda.

“Generasi muda harus tahu tanggungjawab mereka kepada masyarakat secara keseluruhan sebagai persediaan kepada peralihan kuasa pada masa akan datang untuk mendapatkan mandat rakyat.

“Saya melihat bahawa Malaysia dan Sarawak ini tidak akan dapat meneruskan kesejahteraan jika ia di tangan mereka yang tidak berpengalaman mentadbir negara.

“Maka adalah amat penting kepada Barisan Nasional untuk mengekalkan pemimpin dalam peralihan kuasa,” katanya.

Sehubungan itu kata Taib, adalah amat penting kepada semua rakyat tanpa mengira kaum termasuk parti-parti komponen BN bekerjasama mengatasi masalah berkenaan dengan merekrut ramai generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Pelantikan Persatuan Ketua-ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Kuching yang dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai di sini, malam kelmarin.

“Parti politik sama ada SUPP, PBB, SPDP mahupun PRS, kita harus bersama-sama menangani masalah ini.

“Jika kita gagal berbuat demikian kita akan menanggung akibatnya dan sebaliknya jika kita berjaya, kita akan memastikan rakyat terus mempercayai kita,” tegasnya.

Taib, pada masa yang sama melahirkan rasa berbesar hati apabila Datuk Yong Khoon Seng, juga calon kerusi Stampin mengambil keputusan untuk terus mempertahankan Parlimen itu pada PRU13 ini.

“Sekurang-kurangnya beliau terus memberi khidmat kepada rakyat kerana saya tahu Datuk Yong adalah pemimpin yang benar-benar serius berkhidmat kepada rakyat.

“Ini juga supaya beliau akan membawa generasi baharu kepada politik kita pada masa akan datang,” tegasnya.

Berhubung pelantikan ketua- ketua kaum Cina katanya, ia akan mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat antara ketua kaum bukan sahaja Cina tetapi dengan kaum lain.

Katanya ketua kaum memainkan peranan besar yang bertindak sebagai jentera di peringkat akar umbi untuk terus memelihara keharmonian masyarakat.

“Kita berharap anda bekerjasama dengan ketua kaum lain dan kekalkan kerjasama itu demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hadir sama Presiden Persatuan Ketua-ketua Masyarakat Cina Bahagian Kuching Temenggung Lu Kim Yong dan pengerusi pengelola Pemanca Liu Thian Leong. - theborneopost

No comments:

Post a Comment