Friday 26 April 2013

Taib bukan enggan bersara

KUCHING: Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bukan sengaja enggan bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Menteri, tetapi mempunyai sebab yang sukar dielakkan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang berkata Taib seorang pemimpin unggul yang berupaya menyatukan pelbagai kumpulan di negeri ini.

Keupayaannya dalam mengikat perpaduan di Sarawak membawa kepada kestabilan politik, sekali gus membolehkan negeri ini melonjak kedudukan ekonominya.

“Mustahil bagi seseorang juruterbang untuk melompat keluar ketika memandu pesawat yang masih terbang laju,” katanya yang mengibaratkan Taib sebagai juruterbang pesawat sarat dengan penumpang.

Manakala frasa ‘terbang laju’ diumpamakannya sebagai kedudukan ekonomi Sarawak yang kian melonjak.

Bercakap pada sidang media di sini semalam beliau berkata persoalan bersara sebagai Ketua Menteri merupakan satu dilema bagi Taib.

Sarawak katanya akan mencapai status negeri maju apabila Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) kini telah menunjukkan perkembangan positif.

Selain membawa masuk modal asing ke negeri ini, SCORE bakal memberi peluang pekerjaan kepada ramai belia tempatan berikutan pembukaan kilang-kilang perindustrian.

“Beliau mahu bersara dan meluangkan masa bersama ahli keluarganya tetapi tidak boleh buat begitu pada masa ini,” jelasnya.

Idris berkata lagi, tsunami politik yang melanda negara pada 2008 turut tidak membenarkan Ketua Menteri untuk berundur.

Baru-baru ini Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang juga calon bagi kerusi Parlimen Bandar Kuching mengetuai kumpulannya ingin menyerahkan kek sempena persaraan Taib di pekarangan Wisma Bapa Malaysia di sini.

Bagaimanapun mereka gagal untuk berbuat demikian.

Idris mengaitkan gesaan persaraan itu sebagai strategi politik DAP dan parti pembangkang lain, terutama ketika musim Pilihan Raya Umum ini.

Mereka cuba meraih undi dengan cara begini, katanya.

“Proses untuk memindahkan baton ke tangan orang lain (pengganti sebagai Ketua Menteri) perlu berjalan lancar dan tidak membawa kepada perpecahan,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment