PULAU PINANG 26 April - DAP mendesak pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan pendirian berhubung isu hukum hudud Pas yang mahu dilaksana jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian berhubung isu itu selepas beberapa lama berdiam diri.
Menurutnya, isu itu perlu diselesaikan segera kerana dakwa beliau Barisan Nasional (BN) ketika ini mencari kesempatan mengeksploitasi isu berkenaan.
"Saya minta Anwar tampil menyatakan pendiriannya kerana sudah tiba masanya beliau berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Desakan Karpal itu dibuat selepas pemimpin PKR sehingga kini dilihat memilih jalan selamat dengan tidak memberi sebarang penjelasan berhubung pertikaian pelaksanaan hukum hudud Pas antara parti tersebut dengan Pas.
Dalam pertikaian terbuka itu, pemimpin kedua-dua parti saling bertegas mempertahankan pendirian masing-masing sekali gus memperlihatkan perpecahan dalam pembangkang.
Ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din bertegas mahu melaksanakan hukum hudud Pas sekiranya pembangkang berkuasa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Karpal pula terus membantah hasrat tersebut.
Sementara itu, Karpal yang sebelum ini beberapa kali menegaskan hukum hudud Pas tidak akan menjadi kenyataan berkata, pelaksanaan hukum hudud dan undang-undang Islam tidak pernah menjadi manifesto pakatan pembangkang.
"Apabila saya bercakap, ia mewakili pendirian parti iaitu DAP dan perkara ini telah ditegaskan beberapa kali sebelum ini.
"Pendirian ini mesti dipertahankan kerana ia berdasarkan kepentingan awam," ujarnya.
Mengulas lanjut, Karpal yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gelugor dalam pilihan raya umum akan datang berkata, DAP tetap menentang pelaksanaan hudud Pas dan undang-undang Islam seperti yang diperjuang parti itu.
"Hanya kerana DAP bersetuju menggunakan simbol Pas dalam PRU-13 jika logo roket tidak boleh digunakan seperti isu yang ditimbulkan baru-baru ini, tidak bermakna DAP menerima apa yang Pas mahu laksanakan," katanya.
Ditanya pendiriannya yang lebih lantang membantah isu itu berbanding Kit Siang yang sering memberi jawapan 'selamat', Karpal menegaskan, tindakan tersebut dibuat selaras dengan kedudukan beliau selaku Pengerusi parti berkenaan.-utusan
No comments:
Post a Comment