Monday 29 April 2013

PR janji salur lebih banyak faedah kepada Sarawak



BAWA JANJI: Wan Azizah bersemangat ketika menyampaikan ucapan beliau pada ceramah kempen oleh Dr Teo di hadapan bangunan pejabat PKR Miri, malam kelmarin.


MIRI: Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan menyalurkan lebih banyak faedah kepada rakyat di negeri ini dan bukan hanya setakat lebuh raya dua lorong Pan Borneo, demikian menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Kedua-dua PR dan Barisan Nasional (BN) dalam kempen masing-masing telah menyasarkan kepada usaha menaik taraf Jalan Pan Borneo yang banyak menimbulkan perdebatan dan kontroversi kerana telah menyaksikan banyak kemalangan maut berlaku di sepanjang laluan berkenaan.

Malah kedua-dua pihak BN dan PR dalam manifesto masing-masing turut meletakkan projek menaik taraf jalan tersebut kepada Lebuh Raya Pan Borneo dua lorong yang menghubungkan Kuching di Sarawak dengan Kudat di Sabah, sebagai antara agenda utama mereka, namun masing-masing mempunyai perancangan jangka masa projek yang berbeza.

“Sesungguhnya, anda di Sarawak memerlukan Lebuh Raya Pan Borneo yang lebih baik,” ujar Azizah kepada pemberita di sini pada sidang media yang diadakan di Bilik Operasi PKR Miri, semalam.

Beliau yang mengakui merasai sendiri pengalaman mengembara menggunakan jalan berkenaan, faham kenapa ia digelar sebagai ‘jalan pembunuh’.

Justeru katanya, jalan tersebut wajar diberi perhatian segera, iaitu menaik taraf jalan itu daripada satu lorong kepada dua lorong dan ia boleh membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa dan juga ekonomi negeri, yang terpaksa menanggung kos akibat kemalangan berlaku, disebabkan jalan yang buruk.

“Usaha menaik taraf Jalan Pan Borneo ini merupakan sesuatu yang amat penting kepada Sarawak,” kata Wan Azizah sambil menambah kata beliau bersetuju dengan pendapat bahawa jalan berkenaan jika dinaik taraf, akan mampu disiapkan dalam tempoh lima tahun sahaja.

“Kami yakin mampu menyiapkan projek naik taraf jalan tersebut kepada lebuh raya hanya dalam satu penggal (lima tahun) sahaja dan kami berharap PR akan memenangi mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, bagi membolehkan kami membuktikan kepada anda (rakyat Sarawak) bahawa kami boleh melakukannya,” dakwanya.

Selain itu, beberapa faedah lain yang bakal diperolehi Sarawak apabila PR memerintah kelak ialah royalti minyak yang akan dinaikkan hingga empat kali ganda, iaitu sehingga 20 peratus, menyelesaikan isu-isu seperti pembinaan empangan-empangan, isu tanah dan perumahan di seluruh negeri ini, yang turut dimuatkan dalam manifesto PR.

Terdahulu, dalam ceramah beliau sempena kempen Dr Teo yang diadakan di hadapan bangunan PKR malam kelmarin, Wan Azizah memberitahu bahawa rakyat kini semakin sedar dan mahukan perubahan dalam kerajaan dan justeru dakwanya, keputusan PRU13 tahun ini kelak mungkin kembali menyaksikan kejutan-kejutan baharu.

“Gelombang kebangkitan yang mahukan perubahan kini semakin melanda seluruh negara dan bakal mengubah landskap politik negara, termasuk di Sarawak.

“Jika sebelum ini kita tidak mempunyai ramai orang (pengikut), tetapi kini semakin ramai termasuk bijak pandai dan intelektual yang menyertai kami dan membantu mencapai hasrat untuk mewujudkan Sistem Dua Parti,” tambahnya.

Turut hadir pada ceramah malam kelmarin ialah Pengerusi PKR Lanang George Chen, ADUN Pujut Fong Pau Teck serta calon PKR di kerusi Parlimen Miri Dr Teo.- theborneopost

No comments:

Post a Comment