Oleh SUWARNI MOKHTAR
TIDAK berapa lama dahulu, bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga bekas peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin membayangkan bahawa Ketua Pembangkang itu akan mengeluarkan sepucuk surat sokongan yang didakwa ditulis tokoh ulama terkemuka, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi.
Surat tersebut antara lainnya akan menyatakan bahawa Malaysia lebih layak dipimpin Anwar yang sebelum ini didakwa oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Anugerah Allah.
Pada 26 April lalu, surat yang ditunggu-tunggu tiba. Ia dilancarkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di projek perumahan Pantai Permai, Lembah Pantai yang merupakan tempat anak Anwar, Nurul Izzah bertanding.
Pun begitu, adakah kehadiran surat tersebut mampu melonjakkan peluang Anwar untuk mencapai cita-citanya sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh seperti yang diangan-angankan.
Atau, ia hanya menunjukkan tahap terdesaknya untuk menang sehingga terpaksa mencari sokongan luar?
Adakah Anwar sudah hilang keyakinan terhadap jentera pilihan rayanya sendiri sehingga terpaksa mencari pertolongan daripada Thailand sehingga ke Arab?
Menurut, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain, tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai terdesak.
"Yusuf Qaradawi merupakan ulama hebat alaf 21. Bukan mudah untuk dapat surat dari dia. Jadi secara tak langsung tunjukkan dia (Anwar) hebat, dapat sokongan jadi Perdana Menteri.
"Tapi tidak semudah itu. Surat tersebut boleh diragui. Mungkin Yusuf Qaradawi tidak diberi gambaran yang sebenar tentang apa yang berlaku di negara ini.
"Macam bagi resume, boleh tulis apa sahaja dalam resume tetapi yang akan memilih belum tentu boleh terima bulat-bulat," katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Beliau menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menerima surat penghargaan daripada Pengerusi Majlis Pemegang Amanah Institut Antarabangsa Al-Quds (QII) tetapi tidak digunakan untuk meraih undi.
"Anwar, selagi ada surat sokongan selagi itu dia akan tunjuk," ujarnya.
Nada serupa turut dikongsi pakar sejarah Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang menyatakan walaupun Al-Qaradawi merupakan ulama terkenal namun beliau tidak mengetahui keadaan sebenar di negara ini untuk membuat kesimpulan sedemikian.
"Daripada pemerhatian umum saya, orang yang tiada apa-apa ini akan lebih mengada-ngada. Bukan main berlagak sedangkan orang yang hebat macam Tun Dr. Mahathir cakap biasa saja.
"Kalau betul dia (Anwar) hebat, tak perlu menunjuk. Pergi mana pun, orang tahu dia hebat. Tak perlu orang luar yakinkan rakyat Malaysia. Penggunaan surat itu hanya tunjukkan kelemahan dia," katanya.
Menjawab pertanyaan, mengapa Najib tidak menggunakan surat penghargaan Al-Qaradawi, Ramlah mengatakan, Najib bukan orang yang terdesak.
Jadi kepada penyokong-penyokong pakatan pembangkang dan Anwar khususnya, jika anda mempercayai surat sokongan Al-Qaradawi itu, adalah wajar anda mempercayai surat tokoh itu kepada Najib.
Bagi mereka yang tidak mengetahui mengenai surat penghargaan bertarikh 15 Februari itu, Pengerusi QII menulis surat tersebut sempena lawatan Perdana Menteri ke Gaza, Januari lalu.
Walaupun tidak menyatakan bahawa Najib akan memegang tampuk pemerintahan negara, Al-Qaradawi dalam pembuka surat itu berdoa agar Allah mengurniakan keberkatan serta rahmat kepada Najib dalam melaksanakan tanggungjawab mencapai matlamat kemajuan, kestabilan dan keselamatan rakyat Malaysia dan global.
"Semoga Malaysia dan rakyatnya sentiasa makmur dan maju. Semoga Malaysia sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan Allah. Dan, semoga Malaysia sentiasa menjadi tempat yang terbaik untuk orang Islam dan ketamadunan." - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment