Thursday 25 April 2013

Nogeh semakin mendapat tempat di hati pengundi



TARIK PENGUNDI: Nogeh bercakap kepada hadirin pada jelajah ceramah Parlimen Mas Gading ke beberapa kampung di Bau dan Lundu, kelmarin.

Antaranya daripada pengundi Cina dan yakin mampu meraih undi lebih tinggi berbanding Dr Tiki Lafe

BAU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Mas Gading, Anthony Nogeh Gumbek semakin mendapat tempat di hati pengundi di situ.

Antaranya daripada kalangan pengundi Cina di mana Nogeh yakin mampu meraih undi yang lebih tinggi berbanding rekod-rekod yang dicapai Datuk Dr Tiki Lafe.

Begitu juga sokongan pengundi Bumiputera khususnya Bidayuh, yang juga Nogeh percaya lebih setengah daripada mereka akan mengundi BN.

“Dengan sokongan hebat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), saya yakin akan mendapat peratusan yang lebih tinggi daripada masyarakat Cina.

“Malah, sekarang kami telah menerima lebih 700 penyertaan daripada kalangan pemuda Cina untuk menjadi ahli SPDP.

“Bagi pengundi Bidayuh pula khususnya di luar bandar yang amat memerlukan bantuan kerajaan untuk mendapat kemudahan, saya percaya ramai akan mengundi BN,” kata Nogeh.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual sempena jelajah ceramah Parlimen Mas Gading ke beberapa kampung di Bau dan Lundu, kelmarin.

Turut menyertai jelajah ceramah tersebut ialah wakil-wakil daripada parti komponen BN Negeri iaitu SUPP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurut seorang pengundi Cina dari Kampung Buso Tchong Ah Hoi, dia bersama penduduk lain telah bersepakat untuk menyokong Nogeh pada pilihan raya ini.

“Kami masih mahukan pembangunan dan berharap Nogeh dapat meneruskannya selepas ini,” katanya sambil menjelaskan bahawa Kampung Buso didiami lebih 600 penduduk Cina yang terdiri daripada petani dan peniaga.

Sementara itu Nogeh menambah jika diberikan mandat, antara aspek yang akan menjadi keutamaannya ialah isu keselamatan.

“Saya mahu mana-mana kawasan dalam Mas Gading mendapat kawalan keselamatan yang baik misalnya menubuhkan pondok-pondok polis di kampung yang memerlukan,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment