NAJIB Razak bersalaman dengan masyarakat setempat ketika hadir pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Saratok, Kuching hari ini. - UTUSAN
SARATOK 27 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak sesekali terpengaruh dengan slogan 'Ubah' yang sering dilaungkan pembangkang.
Perdana Menteri berkata, slogan itu hanyalah gimik pembangkang iaitu sekadar menabur janji tanpa melakukan sebarang perubahan demi masa depan rakyat.
Katanya, pendekatan Barisan Nasional (BN) pula berbeza iaitu sentiasa menepati janji dalam membela nasib seluruh masyarakat menerusi agenda transformasi nasional.
"Rakyat Sarawak boleh melihat sendiri keadaan empat buah negeri ditadbir pembangkang yang terpaksa hidup dalam kesengsaraan kerana berhadapan dengan pelbagai masalah.
"Pembangkang gagal menguruskan masalah air di Selangor bermakna mereka gagal menjadi pemimpin dan membela masa depan masyarakat di Sarawak juga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 10,000 penduduk Saratok dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Medan Krian di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan calon BN Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, rakyat negeri ini harus menolak calon daripada parti lain dan memilih calon BN untuk menjadi pemimpin.
"Ini bukan soal besar mana saiz poster calon sebaliknya adalah soal kemampuan dan kepercayaan rakyat dalam memilih pemimpin dan kerajaan untuk mengurus tadbir negara.
"Saya tahu di sini ada calon PKR yang bertanding tetapi masyarakat Saratok harus memilih calon BN untuk jaminan masa depan yang lebih baik," katanya.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM8.8 juta bagi membaiki dan meningkatkan keupayaan bekalan air kepada penduduk di seluruh Saratok terutama di kawasan Krian.
Katanya, peruntukan tersebut mencakupi penggantian paip-paip lama bagi membolehkan bekalan air disalurkan kepada penduduk di kawasan itu tanpa sebarang gangguan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment