Saturday 27 April 2013

Analisis PRU-13: Slogan 'Ubah' makan diri sendiri


Oleh BORHAN ABU SAMAH


KATA dulang, paku serpih, kata orang, sendiri yang lebih. Begitulah slogan 'Ubah' yang digunakan oleh DAP bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

Parti pembangkang itu menyeru rakyat melakukan perubahan dengan memilih pakatan yang tidak pernah berdaftar atau pakatan haram iaitu Pakatan Rakyat untuk menjejak kaki ke Putrajaya.

Pakatan yang belum dapat menyelesaikan isu-isu pokok termasuk pelaksanaan hukum hudud itu menjanjikan bulan dan bintang jika diberi mandat oleh rakyat.

Bagaimanapun ibarat 'Meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri', kini rakyat mempertikaikan keikhlasan pembangkang untuk berubah kerana muka-muka lama pemimpin mereka yang telah menyertai pilihan raya sejak perdana menteri yang pertama masih lagi bertanding pada pilihan raya kali ini.

Lihat sahaja Lim Kit Siang yang berpindah ke Gelang Patah, manakala Karpal Singh dan Nik Aziz Nik Mat kelihatan belum mahu melepaskan jawatan yang dipegang walaupun mereka semakin uzur dimamah usia.

Pelbagai helah digunakan bukan sahaja untuk mengekalkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat, bahkan untuk mengekalkan jawatan di dalam DAP sendiri mereka terpaksa membuat aksi silap mata semasa pemilihan jawatankuasa pusat parti pembangkang itu.

Lihat pula pemimpin Barisan Nasional (BN), Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun masih sihat dan berfikiran tajam, beliau meletak semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Begitu juga Tun Dr. Ling Liong Sik kini tidak lagi aktif di dalam MCA, sama juga dengan Datuk Seri S. Samy Vellu juga telah melepaskan jawatan di dalam MIC.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja telah berjaya dengan program transformasinya, tetapi beliau turut mewakili era baru dalam politik negara.

Tindakan berani beliau meletakkan begitu banyak muka baru bagi calon BN cukup mengejutkan dan kini rakyat memahami serta yakin bahawa Najib benar-benar serius melakukan perubahan.

Mandat yang lebih besar kepada BN pada pilihan raya kali ini pasti menjanjikan masa hadapan yang lebih cemerlang untuk Malaysia. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment