Friday, 26 April 2013

Naik taraf Pan Borneo realistik berbanding lebuh raya bebas tol

SIBU: Kerja-kerja menaik taraf dan menambah baik Jalan Pan Borneo adalah lebih baik dan realistik berbanding membina lebuh raya bebas tol, sebagaimana yang dijanjikan oleh pembangkang.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sibu Vincent Lau berkata, beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi perhatian lebih berhubung perkara tersebut.

“Kita akan memastikan jalan ini ditambah baik kerana kita tahu kepentingannya. Bagi saya, ini adalah pilihan yang lebih baik kepada rakyat.

“Sememangnya kerajaan akan melihat perkara ini dan kita akan berjuang untuknya,” ujar Lau kepada pemberita ketika berkempen di Simpang Tiga, Kampung Nangka malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang DAP berjanji membina lebuh raya bebas tol dari Kudat, Sabah hingga ke Kuching dalam masa lima tahun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil alih Putrajaya.

“Beliau (Lim) boleh menjanjikan apa sahaja kerana ini cara DAP berkempen bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Seperti yang kita lihat sebelum ini, mereka akan memberi pelbagai alasan apabila tidak dapat menunaikan janji.

“Oleh itu saya berharap rakyat tidak terpedaya dengan janji-janji mereka.

“Ini kerana apabila seseorang itu berjanji tetapi tidak ditunaikan, ini seperti memberikan janji kosong. Rakyat harus menilai perkara ini dengan teliti,” tegas Lau.

Ditanya mengenai sokongan pengundi di DUN Nangka, beliau menyuarakan keyakinan pengundi di situ memberi sokongan padu kepada BN.

“Saya yakin pengundi di sini berdiri teguh di belakang BN. Dr Annuar serta pemimpin PBB telah membantu mendapatkan sokongan rakyat untuk menguatkan lagi BN,” jelasnya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment