Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
PAGI ini, pengguna jalan raya yang melalui Bulatan Datuk Abang Kipali Bin Abang Akip (Bulatan Petra Jaya) pasti melihat poster besar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Nazib Johari yang berjanji untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Parlimen Petra Jaya.
Dalam poster yang baru dipasang malam tadi, Ahmad Nazib dilihat cukup terdesak apabila menampilkan dirinya dalam seragam polis trafik, dipercayai menggunakan teknik pertindihan di bahagian kepala.
Lebih menjengkelkan, di bahagian dada kanannya terpampang logo PKR manakala di bahu kanannya, terdapat dua 'calit' pangkat Koperal yang juga berwarna biru PKR.
Kita lupakan seketika soal penyalahgunaan imej itu dan fokus kepada isu kesesakan lalu lintas di Parlimen Petra Jaya yang dikitar semula daripada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011.
Secara umum, kesesakan lalu lintas di kawasan parlimen itu berpunca daripada Bulatan Petra Jaya dan ia biasa berlaku pada waktu puncak sekitar 7.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 5.30 petang hingga 6.30 petang.
Tidak dinafikan adakalanya kesesakan turut berlaku di luar waktu puncak.
Bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional (BN) bukannya berpeluk tubuh melihat masalah rakyat itu malah selepas PRN Sarawak 2011, sudah terdapat beberapa usaha mengurangkan kesesakan seperti menaik taraf jalan Gita dan jalan dari Bulatan Matang ke Bulatan Petra Jaya.
Malah, penyandang Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof yang dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) turut memberi fokus terhadap usaha mengurangkan kesesakan berkenaan.
Menurut Fadillah, antara projek yang bakal dilaksanakan adalah pembinaan jambatan baharu bagi menghubungkan Matang dan Stapok bagi mengurangkan tumpuan trafik di Bulatan Petra Jaya dan Jambatan Tun Abdul Rahman Yakub.
Selain itu katanya, projek pembangunan yang bakal dijalankan adalah pembesaran jalan dari Kampung Gita hingga ke Taman Malihah dengan pembinaan empat laluan serta pembesaran jambatan.
"Selain surat kelulusan, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM145 juta dan saya harap projek itu akan dapat dimulakan tahun ini," katanya.
Masalah kesesakan lalu lintas di Petra Jaya perlu dilihat dari skop yang lebih besar khususnya pertambahan jumlah kenderaan di Sarawak.
Pada Ogos 2011, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mengeluarkan statistik jumlah kenderaan berdaftar di Sarawak pada 2009 adalah sebanyak 1.18 juta buah manakala pada 2010, jumlahnya meningkat sehingga 1.26 juta buah.
Ini bermakna berlaku pertambahan sebanyak 80,000 buah kenderaan dalam tempoh dua tahun. Itu tidak mengambil kira pertambahan pada 2011, 2012 dan empat bulan pertama 2013.
Menurut IPK Sarawak, angka itu terlalu banyak jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di negeri ini iaitu seramai 2.6 juta orang.
Kenapa kenderaan bertambah? Jawapannya cukup mudah iaitu kemakmuran ekonomi Sarawak khususnya dan Malaysia amnya sehingga rakyat mempunyai kuasa beli.
Apapun, penduduk Petra Jaya berhak merungut kerana terpaksa mengharungi kesesakan tetapi jangan lupa bahawa di mana-mana bandar sekalipun memang berlaku masalah itu.
Malah di bandar Kapit yang diibaratkan sebagai 'pulau di dalam pulau' pun ada masalah kesesakan lalu lintas sekarang.
Daripada sudut lain pula, masalah kesesakan lalu lintas di Petra Jaya tidaklah kritikal jika dibandingkan dengan bandar-bandar yang bertaraf Bandar Raya.
Di Petra Jaya, kesesakan yang berlaku bukannya berjam-jam dan kenderaannya pula bukannya langsung tidak bergerak. Kawalan warden trafik Dewan Badaraya Kuching Selatan (DBKU) di Bulatan Petra Jaya juga amat berkesan.
Seorang sahabat penulis yang baharu tiba dari Kota Bharu, Kelantan sewaktu dibawa mengharungi kesesakan di Petra Jaya sambil ketawa memberikan komen: "Kalau macam ini, bukan 'jem' pun, lagi teruk di Kota Baharu,".
Aspek sikap pengguna jalan raya juga perlu di ambil kira, penulis yang sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan Bulatan Petra Jaya dapat menyaksikan bagaimana sikap pemandu turut menyumbang kepada kesesakan.
Cara pengguna jalan raya masuk dan keluar Bulatan Petra Jaya masih banyak kepincangan, itu belum dikira dengan masalah 'kedekut' menggunakan lampu isyarat (barangkali risau mentol terbakar).
Bila keluar daripada bulatan, ada yang memandu dengan kelajuan 40 kilometer (km/j) dan berada di lorong paling kanan.
Jika ada kemalangan kecil sekalipun, ramai yang memperlahankan kenderaan untuk melihat dan pemandu yang terlibat suka bertekak dan berbincang di tengah jalan tanpa mengalihkan kenderaan ke tepi terlebih dahulu.
Kalau dengan sikap sebegini, buatlah jejambat dua tingkat sekalipun, kesesakan tetap akan berlaku di Petra Jaya.
Kepada Ahmad Nazib, selamat bertugas 'menjaga' Bulatan Petra Jaya, semoga kehadiran anda 24 jam sehari di situ berjaya mengurangkan kesesakan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment