KUCHING: Ceramah Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Sungai Apong, di sini malam kelmarin turut dihadiri masyarakat bukan Cina yang datang untuk mengetahui apa yang mampu ditawarkan oleh parti tersebut jika menang pilihan raya ini.
Walaupun rata-rata bahasa digunakan dalam ceramah itu adalah bahasa Mandarin, namun bagi Milie Changi yang berbangsa Iban, perkara itu tidak menjadi masalah kerana selaku pengundi mereka ingin melihat sendiri kewibawaan pemimpin parti atau calon yang diletakkan di kerusi Bandar Kuching tersebut.
“Malah kami juga menghadiri ceramah SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) di sini Ahad lepas.
“Walaupun tidak faham, sekurang-kurangnya kami dapat melihat sendiri aura calon-calon Bandar Kuching sebelum memilih salah seorang kelak,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Katanya mereka sentiasa boleh bertanya kepada kawan-kawan yang berbangsa Cina sekiranya ingin mengetahui apa isi kandungan ceramah.
Calon SUPP di Bandar Kuching Tan Kai membuat penampilan pertama kali di kampungnya yang dihadiri ratusan orang, walaupun keadaan cuaca ketika itu tidak mengizinkan.
DAP semalam turut menampilkan seorang penceramah yang menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris iaitu Leon Donald.
Selain calon DAP yang juga penyandang Bandar Kuching, Chong Chieng Jen dan calon DAP di Stampin Julian Tan, turut memberi ceramah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei, Dr Tang Sie Hing dan Chiew Wang See.
Ceramah yang dihadiri lebih 500 orang itu semalam turut dijejaskan oleh bekalan elektrik terputus selama dua kali, iaitu ketika Tan dan Wong memberi ceramah.
DAP yang turut menubuhkan ruang menjual barangan parti, turut mengadakan ceramah di Kota Sentosa pada malam yang sama.
Kain rentang turut kelihatan di sekeliling kawasan ceramah yang berbunyi ‘Kami Sokong Tan Kai’.-theborneopost
No comments:
Post a Comment