Wakil Penan beritahu bahawa pihaknya berjanji akan bekerjasama dengan BN, calon BN di Baram
MARUDI: Penan di Baram akan memberikan sepenuh sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Anyi Ngau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) ini.
Tuai Rumah Ajang Kau yang mewakili Penan dari Long Sayan memberitahu bahawa pihaknya berjanji akan bekerjasama dengan BN dan juga calon yang diletak mewakili BN di Baram.
“Kami memang sokong BN dan banyak yang telah kerajaan BN buat dan bantu kami sehingga kini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, bukan sahaja Penan di Baram, malah semua suku berkenaan di Sarawak telah banyak mendapat manfaat daripada kerajaan yang diteraju oleh BN.
“Buktinya sudah ramai anak Penan yang kini sudah melanjut dan menamatkan pengajian di peringkat lebih tinggi,” jelasnya.
Beliau pada masa sama turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyandang konstituensi Baram Datuk Jacob Dungau Sagan yang telah membawa banyak perubahan dari segi pembangunan kepada Penan.
“Jasa baik beliau akan tetap kami ingat selalu kerana telah banyak membantu kami,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Robert Ayu merayu supaya pengundi di Baram memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada calon BN Anyi Ngau.
“Ini supaya tidak membantutkan segala perancangan yang telah dan akan dilaksanakan oleh penyandangnya sebelum ini iaitu Datuk Jacob,” kata Robert.
Katanya pembangkang bukanlah satu pilihan baik bagi pengundi kerana ternyata pembangunan akan terbantut jika Baram jatuh ke tangan mereka.
“Ini telah terbukti pada suatu ketika dahulu di mana Baram pernah dimenangi oleh Harrison Ngau,” katanya yang pada masa itu bertanding atas tiket Bebas. - theborneopost
No comments:
Post a Comment