SARATOK: Datuk Seri Najib Razak menegaskan slogan 'ubah" yang dilaungkan pembangkang tidak lebih daripada sekadar gimik bagi meraih perhatian, menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengannya.
Perdana Menteri berkata, di sebalik slogan yang kononnya mengandungi madu itu sebenarnya tersembunyi racun berbisa yang mana sudah dirasai penduduk di empat negeri yang ditadbir pakatan pembangkang ketika ini.
Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang ditadbir pakatan pembangkang.
"Empat negeri yang ditadbir pembangkang, setengah daripada kita termakan dengan slogan ubah, tetapi hari ini keempat-empat negeri itu sarat dengan kekecewaan sebab kerajaan yang dipilih tidak dapat laksana apa yang dijanjikan.
"Jadi, saya ingin mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali tertarik dengan ungkapan ubah sebab tidak ada apa-apa yang mereka lakukan sebelum ini selepas diberi amanah menjadi kerajaan di negeri berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di dataran Krian di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu dan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom, yang juga Menteri Pembangunan Sosial negeri. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment