KUCHING: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendakwa Pakatan Rakyat (PR) telah menguasai 125 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Katanya jangkaan itu dinilai berdasarkan sambutan orang ramai terhadap ceramah-ceramah yang diadakan PKR, DAP dan PAS.
“Insya-Allah, saya tidak takbur, saya ingin mengumumkan Pakatan Rakyat telahpun memperolehi 125 Parlimen setakat ini,” katanya pada ceramah bersama calon PKR Parlimen Petra Jaya Ahmad Nazib Johari serta calon PR bagi Parlimen Santubong Zul Rushdi Hol di sini malam kelmarin.
Tambahnya, PR melalui manifesto buku jingga ingin memperjuangkan pendidikan, royalti minyak dan gas, naik taraf jalan, jenayah, hubungan antarabangsa serta kemiskinan di negeri ini.
Mengulas mengenai pendidikan, Azmin memberitahu bahawa ia merupakan pelaburan jangka panjang dan kerajaan Turki telah melaksanakan perkara yang sama dan menunjukkan kejayaan.
Beliau berkata PR berhasrat memansuhkan pinjaman PTPTN dan memberi pendidikan percuma kepada anak-anak di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.
Menyentuh soal minyak dan gas pula, Azmin menyatakan dengan berani untuk meletakkan 20 peratus royalti berbanding 5 peratus sebelumnya jika dapat menjadi kerajaan.
PR jelas enggan menukar pemimpin sebaliknya mahu sistem nilai kerajaan ditukar kepada dua parti sepertimana yang dilakukan di negara-negara maju yang turut mengamalkan pemerintahan demokrasi.
“Bukan soal mahu menukar Perdana Menteri, Ketua Menteri atau parti, kita mahu tukar sistem kerana sistem sedia ada sudah rosak, rapuh.
“Dalam kita berkempen, kita tidak maki orang, tidak buang telur pun dan bawa budaya samseng dan kita tidak cerca, hina dan fitnah orang.
“Kita lihat di Amerika Syarikat ada Parti Demokrat dan Parti Republikan ada timbal balas manakala di Eropah kita ada Parti Buruh dan Parti Konservatif dan di Malaysia ada baiknya jika kita ada dua sistem ini yakni Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR),” ujarnya.
Turut hadir muka baharu dalam PR Kolonel Abang Hamdan Abang Adenan dan kira-kira 300 orang hadirin yang mendengar ceramah itu.-theborneopost
No comments:
Post a Comment