Rudi Affendi Khalik
PILIHAN RAYA Sarawak sering menjadikan luar bandar sebagai isu utamanya. Sejak 50 tahun tahun, sejak merdeka melalui Malaysia, isu ini tidak pernah kering. Benarkah Sarawak masih jauh mundur, dan kawasan pedalamannya begitu ketinggalan? Apakah tidak ada usaha yang bersungguh untuk memajukannya, atau paling kurang, menjambatani setiap titik bandar kecil di negeri ini dalam satu lingkungan.
Bukan mudah membangunkan negeri sebesar Sarawak yang keluasannya menyamai seluruh Semenanjung atau hampir dua kali berbanding negeri jiran Sarawak. Bentuk muka buminya penuh mencabar dipenuhi gunung-ganang dan sungai bersimpang siur.
Hakikatnya, Sarawak tidak pernah terlepas dari pandangan Kerajaan Pusat, malah sentiasa menerima peruntukan besar. Namun disebabkan keluasan negeri ini, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak perlu mengambil masa dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan terutama kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) yang dipertanggungjawabkan melaksanakan projek pembangunan prasarana di luar bandar telah melaksanakan 206 projek di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) membabitkan kos RM6.2 bilion.
Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi seluruh negara, 621 projek baru selain 288 projek sambungan akan dilaksanakan membabitkan kos RM22.3 bilion. Dan daripada jumlah itu, sebanyak 202 projek baru akan dilaksanakan di Sarawak membabitkan peruntukan RM6.353 bilion.
Menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2011-2012 sahaja, Sarawak menjadi negeri yang menerima peruntukan terbesar bagi projek pembangunan luar bandar di bawah KKLBW iaitu RM3.055 bilion bagi 2011 dan RM1.789 bilion pada tahun berikutnya.
Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Sarawak menerima peruntukan terbesar selari dengan saiz negeri ini yang sangat luas, sebesar seluruh Semenanjung.
"Daripada lebih RM3 bilion yang diperuntukkan untuk Sarawak pada 2010, kira-kira RM1 bilion untuk pembinaan jalan, RM638.6 juta untuk bekalan air dan RM571 juta untuk bekalan elektrik, selain RM103 juta bagi Program Bantuan Rumah (PBR).
Menerusi NKRA (2011-2012) itu juga, sasaran adalah untuk membina tambahan 659.05 kilometer jalan luar bandar, bekalan air ke 78,278 rumah di luar bandar dan bekalan elektrik ke 39,885 lagi rumah di kawasan sama, selain pembinaan 7,775 rumah untuk penduduk miskin dan miskin tegar menerusi PBR.
Liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar di Sarawak, setakat ini telah mencapai sasaran 75 peratus dan ia disasarkan mencapai 80 peratus tahun depan. Manakala sasaran bekalan air daripada 60 peratus setakat ini dijangka dapat dinaikkan kepada 70 peratus tahun depan.
Dalam RMKe-9 saja, sejumlah RM598.7 juta dibelanjakan untuk program air luar bandar, selain RM1.137 juta dibelanjakan bagi program elektrik luar bandar. Dalam RMKe-10, sebanyak 165 projek baru dan 37 projek sambungan akan dilaksanakan di Sarawak.
" Antara yang baru siap dan dirasmikan ialah projek naik taraf Jalan Panchor-Kampung Bintawa-Kampung Soh-Kampung Kenawit Betong, Serian, selain projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Pridan, Kampung Diyang, Kampung Mentung Baing, Kampung Mentung Brawan dan Kampung Plaman Ngiang.
Kesungguhan Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib juga dapat dilihat apabila menyusul lawatan beliau ke Ulu Lachau, dekat Sri Aman pada 22 Februari 2010, empat projek sudah pun dilaksanakan iaitu BELB Ulu Lachau (RM7.07 juta) dijangka siap pada 31 Januari 2011, naik taraf Jalan Jaung (RM8.9 juta) siap pada 22 Disember 2011, naik taraf Jalan Tanjung Bijat/Skrau (RM21.8 juta) dijangka siap 1 Jun 2012 serta naik taraf Jalan Po Ai/ Klauh (RM14.6 juta) dijangka siap pada 31 Disember 2012.
Ekoran lawatan Perdana Menteri ke Simunjan pula, penyambungan projek BELB di sekitar kawasan Gedong dan Simunjan (RM13.53 juta) siap diikuti Projek naik taraf Jalan Kampung Pantong ke Pekan Simunjan (RM9 juta), manakala menaik taraf Jalan Gedong Simunjan (Fasa II) (RM83 juta).
Semua ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pusat pimpinan Dato' Sri Mohd Najib dan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dalam memastikan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak tidak terpinggir daripada nikmat arus perdana pembangunan apabila Malaysia muncul sebagai negara maju 2020 dan Sarawak muncul negeri terkaya menjelang 2030.
Justeru dengan gelombang pembangunan yang berterusan ini, dakwaan Sarawak mundur sebenarnya lebih sebagai momokan politik. Ia hanyalah tuduhan tidak berasas, tetapi pada masa yang sama, menyindir rakyat Sarawak. Di mana-mana negara pun, kemajuan dan pembangunan tidak datang serentak. Ia perlu mengikut giliran dan yang penting, ia perlu digerakkan secara sistematik dan mengikut perancangan – bukan untuk memenuhi kehendak dan selera. - sarawak update
No comments:
Post a Comment