Monday, 22 April 2013

Jangan terpedaya pembangkang putar belit isu Jalan Kapit-Sibu

KAPIT 21 April - Rakyat diminta tidak terpedaya dengan taktik pembangkang memutarbelitkan isu pembinaan jalan Kapit-Sibu bagi meraih undi di Parlimen Kapit.

Sehubungan itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen itu, Datuk Alexander Nanta Linggi (gambar) mengingatkan rakyat supaya tidak mengenepikan fakta bahawa pembinaan jalan berkenaan sedang dilaksanakan bagi jarak 52 kilometer pertama dengan sebahagian daripadanya telah siap.

Katanya, antara yang telah dilaksanakan ialah jalan dari bandar Kapit ke Nanga Nyikau sepanjang dua kilometer, Nanga Nyikau ke Nanga Yong (10 kilometer), Song ke Nanga Sipan (lapan kilometer) dan Song ke Nanga Banjor (25 kilometer).

"Kalau pembangkang mahu berpolitik bagi mewakili rakyat, boleh, tetapi jangan bohongi rakyat. Apa lagi kalau ada di antara mereka yang datang ke Kapit dan memberitahu jalan ke Sibu tidak sampai sejengkal yang telah dibina.

"Semasa berkempen ini pembangkang pasti menggunakan isu jalan Kapit-Sibu, jadi jangan kita terpengaruh kerana mereka ini tidak tahu dan tidak melihat sendiri kerja-kerja pembinaan jalan berkenaan yang sedang rancak dilaksanakan," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Alexander meminta pengundi Parlimen Kapit supaya terus menyokong BN bagi memastikan kesinambungan kepada usaha serta dasar yang telah dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kesungguhan Najib dalam membantu masyarakat luar bandar sejak menjadi Perdana Menteri amat ketara apabila di Parlimen Kapit sahaja beliau telah meluluskan peruntukan pelbagai projek infrastruktur berjumlah RM443 juta.

"Sebelum ini kita di Kapit telah diketahui sebagai penyokong kuat BN, daripada tiga penggal kita telah menang tanpa bertanding sebanyak dua kali.

"Kerajaan telah mengetahui sokongan kuat masyarakat di Kapit dan jika ini diteruskan pasti Kapit akan lebih maju dan sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment