KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) Bandar Kuching Tan Kai mencabar lawannya calon DAP, Chong Chieng Jen untuk mengumumkan secara terbuka pendiriannya terhadap agenda negara Islam PAS.
Tan Kai yang juga ketua Pemuda SUPP berkata sebagai Ahli Parlimen dua penggal, Chong tidak mungkin lupa DAP Sarawak pernah menarik diri daripada Barisan Alternatif (PAS, DAP dan PKR) dan hanya kepimpinan pusat sahaja yang kekal dalam pakatan tersebut.
Bagaimanapun kata beliau, ia kini berubah apabila DAP bekerjasama dengaan PAS untuk mencapai matlamat menawan Putrajaya.
“Keputusan itu dibuat berdasarkan satu sebab sahaja, iaitu kerana PAS tetap bertegas mengenai agendanya untuk menubuhkan sebuah negara Islam sepenuhnya.
“Dengan ini, saya mencabar Chong untuk menyatakan pendiriannya mengenai agenda negara Islam oleh PAS,” katanya pada sidang media yang dihadiri Setiausaha Agung SUPP Pusat Profesor Dr Sim Kui Hian dan Ketua Wanita SUPP Pusat Amy Tnay di ibu pejabat SUPP di sini, semalam.
Tan Kai menjelaskan, PAS akan tampil ke hadapan dengan matlamat utamanya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya yang ditentukan oleh undang-undang hudud.
Antara hukum hudud berkenaan termasuk sekatan ke atas persembahan pentas semasa sambutan hari jadi Dewa Cina dan penghibur wanita diharamkan.
“PAS sudah banyak kali menyuarakan matlamat utamanya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya di mana negara kita ditadbir menurut undang-undang hudud dan kenapa DAP masih membisu?
“Saya mencabar Chong agar memberi respons kepada saya mengenai perkara ini terutama persoalan dalam undang-undang hudud,” tegasnya.
Berhubung isu penggunaan lambang DAP, yang didakwa tidak dibenarkan untuk digunakan semasa kempen mereka, Tan Kai berkata, ia hanya strategi DAP untuk mendapatkan undi mereka.
“ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) tidak pernah menyatakan bahawa lambang DAP tidak dibenarkan.
“Jika benar, saya mencabar DAP supaya mendedahkan surat (yang menyatakan lambang DAP tidak dibenarkan) kepada orang awam,” tegasnya.
Sementara itu Tnay mahu pengguna laman sosial Facebook bersikap rasional dan tidak memetik sebahagian sahaja daripada ucapannya dan memutar belit seluruh idea untuk menggambarkannya sebagai seseorang yang kasar.
Tnay berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengguna Facebook menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadapnya dan menyiarkan video ucapannya selama seminit di mana beliau berkata pengundi dari seberang laut pulang ke tanah air untuk berak (‘shit’), mengundi dan kemudian meninggalkan negara lagi.
Beliau memohon maaf jika apa yang beliau sebut secara tidak sengaja telah menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan segelintir pihak tetapi menegaskan beliau bebas bersuara di negara demokratik ini.
“Kenapakah mereka tidak diserang seperti saya?” katanya.
Beliau berkata petikan kecil berkenaan daripada ucapannya selama 19 minit telah disiarkan atas talian.
Menurutnya, ia tidak adil kerana mereka tidak mendengar keseluruhan ucapan dan memahami kandungannya.
Menurutnya, apa yang beliau maksudkan ialah untuk mengingatkan golongan muda supaya tidak pulang untuk mengundi semata-mata untuk mengubah sesuatu tanpa memikirkan tentang implikasinya.-theborneopost
No comments:
Post a Comment