Tuesday, 23 April 2013

BN akan pastikan Anthony menang besar di Mas Gading

NIAH: Barisan Nasional (BN) Negeri akan memastikan calon kerusi Parlimen Mas Gading, Anthony Nogeh menang dengan majoriti besar meskipun ditentang bekas penyandang kerusi itu, Datuk Dr Tiki Lafe.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata kerusi Mas Gading adalah kerusi putih BN dan tiada masalah untuk mengekalkan kerusi itu.

“Tiki bukan lagi sebahagian daripada ahli komponen BN dan beliau adalah lawan kepada calon BN kita (Anthony) dan dianggap sebagai pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini,” katanya di sini semalam.

Dr Rundi memberitahu, bekas penyandang kerusi Mas Gading itu bertindak menentang calon BN atas tiket Bebas berikutan namanya digugurkan dalam senarai calon PRU13.

Pada 2011, Dr Tiki dipecat daripada Parti Demoktratik Progresif Sarawak (SPDP) susulan krisis dengan presiden parti itu, Tan Sri William Mawan Ikom.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri Pehin Sri Taib Mahmud bahawa kami akan memberi sokongan penuh kepada calon komponen BN.

“Ia bermaksud bahawa kami akan membantu calon BN menang dengan majoriti besar meskipun ditentang oleh bekas penyandang kerusi itu sendiri,” katanya.

Beliau mengakui akan timbul kekeliruan di kalangan pengundi di kerusi Mas Gading namun BN Negeri mempunyai strategi tersendiri untuk meleraikan kekeliruan terbabit.

“Kami harus memberitahu pengundi bahawa hanya ada satu sahaja calon BN dan jika benar mereka setia kepada BN, mereka harus akur dengan calon pilihan BN dan bukannya menentang calon terbabit,” tegasnya.

Selain pencalonan Dr Tiki atas tiket Bebas, kerusi Mas Gading turut menyaksikan dua lagi calon yang turut bertanding iaitu Mordi Bimol (DAP) dan Patrick Anek Uren (STAR).

Mengulas lanjut tentang pertandingan lebih dua penjuru di beberapa kerusi Parlimen Sarawak, Dr Rundi memberitahu bahawa ia adalah perkara biasa dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Pilihan raya kali ini penting kerana kita bakal menentukan siapa Perdana Menteri kita sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak, Hadi Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“BN telah meletakkan lebih 500 calon boleh menang di semua kerusi DUN dan Parlimen termasuk pertukaran calon di beberapa kerusi tertentu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

“Saya secara peribadi menyifatkan Sarawak tidak mempunyai masalah untuk menang pada pilihan raya ini dengan adanya kerjasama erat antara parti komponen BN Negeri,” katanya.-theborneopost 

No comments:

Post a Comment