Tuesday, 23 April 2013

Terpenggalnya Persepsi Buruk di Batang Lupar



Rudi Affendi Khalik


Dengan kuntum senyum terukir di bibir, dan wajah ceria yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri – YB Julaihi Nahrawi (DUN Sebuyau), Razaili Ghapur (DUN Beting Maro) dan Simoi Peri (DUN Lingga) – ternyata sangkaan banyak pihak yang Datuk Rohani Abdul Karim sedang dibelenggu masalah dengan ADUN-ADUN kawasannya adalah dakyah politik semata-mata.

Bahkan banyak tukang sihir, tukang beduk, pencacai dan ahli tafsir politik mencanangkan sebelum ini, karier Rohani akan terkorban dek “orang dalam”. Manakala ADUN-ADUN di bawah Parlimennya akan bertindak menjauh diri. Rohani dikatakan mengganggu teritori mereka, termasuk bersaing untuk dilihat sebagai “juara rakyat”.

Namun apalah ada pada teori, pada tuduhan dan pada prasangka – yang hanya berbuih di mulut, dan basah di pena. Sekeping gambar mampu menceritakan segala-galanya.

Foto perarakan calon BN di Sri Aman pada 20 April lalu menceritakan kemesraan mereka. Sekali gus menepis semua tohmahan yang mengatakan kesemua ADUN ini tidak menyukai Rohani. Kalau sebelum ini dikatakan wujud puak Rohani dan puak ADUN-ADUN ini – seperti digembar-gemburkan oleh pemuka-pemuka tertentu, gambar ini menepis segala-galanya. Ini hanyalah sekeping daripada ratusan gambar sepanjang perarakan tersebut yang menceritakan betapa akrabnya mereka dalam kesatuan hati.

Bagi barisan pemimpin BN ini, kubu Bujang Senangperlu dipertahankan. Kota Benak ini perlu dikukuhkan, terutama daripada ancaman anasir-anasir dalaman – Si Kitul dan Raja Mandaliar -- yang sentiasa mengintai dan mengintip peluang untuk mengadudomba dan mewujudkan perpecahan.

Untuk rekod, Rohani yang dipindahkan ke Parlimen Batang Lupar dari Parlimen Santubong sejak dua penggal lalu. menang tanpa bertanding dalam PRU11 pada 2004. Manakala pada PRU12 2008, beliau mematikan kritikan sesetengah pihak yang kurang senang dengan beliau dengan mengungguli 11,015 undi daripada 14,381 pengundi Batang Lupar yang turun. Di kerusi yang menyaksikan pengundi Melayu mendominasi 72 peratus dan Bumiputera Sarawak 24 peratus itu, Rohani menenggelamkan cabaran PAS, yang meletakkan calon muda, Abang Edi Elyani Abang Fauzi dan calon Bebas Ali Semsu dengan majoriti 8092 undi.

Sebelum berpindah ke Batang Lupar, Rohani merupakan AhlI Parlimen Santubong sejak 1990. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani untuk beberapa tahun sebelum dinaik pangkat kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan terkini,
.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Dengan rantaian pengalaman yang panjang – baik dalam politik kawasan mahupun di peringkat negeri dan nasional, tuduhan Rohani sebagai pemimpin yang tidak berwibawa lebih kepada cemburu pelbagai pihak --
berikutan beliau terus diberi kepercayaan oleh pemimpin dan rakyat.

Bahkan sejak memenangi kerusi ini, Rohani hampir saban minggu menggerakkan pelbagai aktiviti ke segenap pelosok Batang Lupar.

Brsama-sama ADUN kawasan, projek dan program yang beliau jana begitu bertimbun dan diusahakan dengan secara bersungguh.

“ Rohani tidak memandang kaum dan ras, mahupun agama dalam memastikan khidmatnya sampai kepada rakyat,” kata seorang tuai rumah panjang di Lingga. Peruntukan diagihkan seadilnya dan mengikut prioriti. Manakala pelbagai bentuk pembangunan didatangkan daripada pelbagai dana Persekutuan.

Antara rekod kejayaan Rohani termasuklah membantu menstabilkan harga barangan di luar bandar termasuk di Batang Lupar melalui Skim Subsidi Harga anjuran kementeriannya – yang mana beliau merupakan Timbalan
Menterinya. Pada masa sama, pada era Rohani, jalan Sri Aman-Lingga yang berturap kini menjadi realiti. Jalan raya Sri Aman-Stumbin-Lingga dengan kos menjangkau RM50 juta ini memendekkan masa perjalanan Sri Aman-Lingga yang dahulunya hampir dua jam disebabkan oleh keadaan jalan raya yang teruk kepada 40 minit sahaja.

Umum mengetahui bahawa feri Pusa-Beladin telah merangkaikan kawasan Beladin-Pusa kepada tanah besar – membolehkan rakyat di kawasan ini memparkir kereta di halaman rumah masing-masing. Pada 25 April ini,
inisiatif Rohani dan ADUN kawasan telah menambah baik keadaan ini dengan melancarkan perkhidmatan feri Sebuyau-Triso
yang dijangka menjimatkan perjalanan Kuching-Beladin daripada 6 jam kepada 3 jam.


Khabar gembira lain yang didokongi Rohani termasukah pembinaan Jambatan Sungai Rimbas di Pusa
yang bernilai RM49 juta selain pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan LKIM di Beladin
yang bernilai RM20
juta dan kini dalam proses pembinaan.

Untuk keselesaan rakyat, kawasan penempatan luar bandar turut dibangunkan dengan jayanya. Penduduk Pulau Seduku tidak lagi gelisah dengan ancaman buaya dan banjir, apabila skim penempatan dan projek
agropolitan dibangunkan dengan jayanya di Skim Penempatan Semula Pulau Seduku yang terletak di tanah besar Lingga.

Menerusi Projek Agropolitan Seduku ini, para penduduk dibantu menerusi FELCRA, salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Para penduduk
diberi saham dalam projek ladang sawit yang diusahakan oleh FELCRA dan pada masa yang sama diberi tanah sebanyak 3 ekar, untuk setiap ketua isi rumah.

Bagi menggalakkan rakyat di kawasan ini menabung dan memperkasa ekonomi, kiosk AgroBank dibangunkan di Pusa pada 2009 manakala kemudahan mesin ATM Bank Rakyat dibangunkan di Sebuyau pada 2011.

Dengan pengalaman dan rangkaian yang luas, Rohani dan pasukan ADUNnya berjaya mentransformasikan kawasan jejeran benak itu menjadi bandar yang dikenali. Sri Aman pada dekad 1970-an hingga awal 2000 adalah
bandar mati – tanpa potensi dan tidak ekonomikal. Tetapi dengan adanya dedikasi dan perancangan rapi pasukan pemimpin BN ini, persepsi berubah dan Sri Aman, terutamanya Batang Lupar semakin dikenali dan
senang untuk dilawati.

Projek terbesar dalam kawasan ini tentulah Projek Jelapang Padi Sarawak yang dikenali sebagai yakni NKEA EPP 11. Projek ini dimajukan bersama oleh Kementerian Pertanian Malaysia, Kementerian Pertanian dan
Asas Tani Sarawak dan PEMANDU – dengan kumpulan pertamanya telah pun menuai hasil. Menerusi projek ini, kawasan semenanjung Lingga hingga Tanjung Bijat akan menjadi jelapang padi yang besar – yang dijangka
dapat mengeluarkan hasil padi yang lumayan untuk negeri Sarawak – sekaligus meningkatkan taraf hidup dan pendapatan penduduk di sekitarnya. Projek ini mampu membawa transformasi pembangunan dan spin-off effect kepada pembangunan ekonomi penduduk tempatan, dan keseluruhan kawasan Sri Aman-Stumbin-Lingga.

Malah untuk membolehkan anak-anak Lingga menjalani proses pembelajaran yang selesa, SMK Lingga akan dibangunkan dalam sedikit masa lagi – lengkap dengan pelbagai kemudahan dan prasarana.

Dengan adunan kecemerlangan seperti ini, ternyata persepsi bahawa Rohani bukan pemimpin yang baik – hanyalah persepsi politik sesetengah pihak, yang mendukung kepada usaha untuk menjatuhkannya. Umum
mengetahui bahawa terdapat segelintir ahli politik yang tidak senang dengan beliau dan berusaha untuk menjatuhkannya. Dan yang baiknya bagi pemimpin wanita yang matang ini, beliau tidak melatah. Sebaliknya
menyambut konspirasi itu dengan gerak kerja yang lebih gigih dan kuat.

Rantaian pembangunan yang disalurkan menerusi Rohani sepanjang menjadi Ahli Parlimen ini juga pasti menjadikan pencabar beliau Abang Zulkifli Abang Engkeh dari PKR sukar mencari isu yang sesuai. Isu Anwar, isu Najib dan isu Taib pastinya bukan sesuatu yang hendak didengar oleh rakyat di sini. Mereka juga sebenarnya terdedah kepada pelbagai media, selain media sosial bagi memperoleh maklumat, dan mampu menapis
maklumat yang tiada kredibiliti.

Abang Zul perlu mencari isu tempatan yang sesuai bagi memastikan rakyat berpaling kepada beliau, atau setidak-tidaknya memancing simpati agar perjuangan beliau tidak ditolak. Pengalaman Abang Zul
sendiri yang pernah bertanding, kecundang serta ditolak rakyat, berserta dengan para pengikutnya yang diketahui terdiri daripada mereka yang kecewa dalam politik pasti menambah gundah.

Pada pilihan raya negeri yang lalu, Abang Zul bertanding di kerusi N30 Saribas menentang calon baru Barisan Nasional, Ricky @ Mohammad Razi Sitam. Razi memperoleh 3,865 undi manakala Abang Zul memperoleh 2,137 undi. Kemenangan Razi dengan majoriti 1,728 undi tersebut mengatasi majoriti 94 undi yang diperoleh penyandang sebelumnya, Dr Wahbi Junaidi.

Apa jua isu yang didendangkan oleh Abang Zul, rakyat Batang Lupar sebenarnya lebih matang, berpendidikan dan terdedah untuk menilai yang mana kaca yang mana intan. Jangan kerana beduk di kuala, rumah di hulu
dibakar, atau kerana guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Percayalah, rakyat Batang Lupar bukan sedungu itu dan usah diperkecilkan.

* Rudi Affendi Khalik merupakan penganalisis bebas, bekas Editor Rencana Utusan Sarawak dan bekas koresponden TV Al Hijrah Sarawak.- sarawak update

No comments:

Post a Comment