Tuesday, 23 April 2013

Analisis PRU-13: Pas Sarawak dibuli DAP dan PKR

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

DALAM Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), Pas hanya bertanding satu kerusi Parlimen sahaja di Sarawak iaitu Batang Lupar. Daripada 22,417 orang pengundi pada masa itu, Pas sekadar menerima 2,929 undi.

Di atas kertas, pada PRU-13, Pas umpama naik pangkat apabila berpeluang bertanding di lima kerusi Parlimen iaitu Batang Sadong, Tanjong Manis, Igan, Sibuti dan Kota Samarahan.

Bagaimanapun, semua kerusi berkenaan adalah kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang paling dominan.

Malah dua daripadanya iaitu Tanjong Manis dan Igan dimenangi BN tanpa bertanding pada PRU-12.

Pada PRU-12 juga, Batang Sadong, Sibuti dan Kota Samarahan ditandingi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi mereka sekadar mendapat undi 'cukup-cukup makan'.

Dalam bahasa mudah, apa yang PKR tidak mahu (baca: sisa), diberikan kepada Pas.

Terbukti Pas dibuli oleh sekutunya, DAP dan PKR apabila diberi kerusi di kawasan hitam atau kerusi yang pasti tewas!

Jika diteliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2011, Pas layak diberi peluang bertanding di Parlimen Batang Lupar pada PRU-13.

Hal ini kerana, Pas mempunyai penyokong yang ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro yang merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen berkenaan.

Pada PRN 2011, Pas kalah di DUN Beting Maro dengan majoriti 391 undi sahaja berbanding 895 undi dalam pilihan raya negeri sebelumnya.

Angka itu menunjukkan Pas semakin berakar di kawasan berkenaan malah pada PRN Sarawak 2011, suasana di pekan Pusa ibarat berada di Kelantan.

Poster Pas dipasang di dinding rumah manakala motosikal penduduk banyak yang memasang bendera kecil Pas.

Namun sebagaimana kebiasaan, PKR lebih bijak menghidu kelebihan itu dan berlagak menjadi 'abang besar' dengan meletakkan calon di Batang Lupar.

Dalam soal pengagihan kerusi sebelum dimuktamadkan, Pas turut dibuli apabila terpaksa melepaskan dua kerusi iaitu Julau dan Mukah.

Pada peringkat awal, Pas Sarawak cuba 'mengenakan' DAP dan PKR apabila muncul yang paling awal mengumumkan senarai calon yang telah diputuskan oleh Pas pusat.

Malah beberapa hari selepas itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu mengunjungi Markas Pas Kota Samarahan turut mengesahkan bahawa pihaknya akan bertanding di tujuh kawasan.

Tetapi apabila DAP dan PKR berkeras mahukan Julau dan Mukah, Pas terpaksa mengalah, malah Pesuruhjaya Pas Sarawak, Adam Ahid sewaktu dihubungi untuk mendapatkan reaksinya langsung tidak membuat penegasan.

"Susahlah macam ini, gaduh adik-beradik, berebut satu baju akhirnya ayah yang pening.

"Takkanlah Pas dengan DAP tak nak bagi, kita ambil tujuh kerusi sahaja. Di Sarawak ada 31, kalau PKR ambil 12, mereka masih majoriti," katanya.

Adam memang seorang yang lemah lembut percakapannya namun sebagai orang nombor satu Pas di Sarawak, di mana ketegasannya dalam mempertahankan kepentingan parti.

Dalam satu perbualan telefon berasingan pada malam penamaan calon, Utusan Online"> cuba 'memancing' Adam dengan bertanya jika Pas melepaskan Mukah kepada DAP, maka DAP akan bertanding di berapa kerusi pada PRU-13.

Jawapan Adam cukup ringkas, katanya "Wallahua'lam". Nada suaranya berbaur kekecewaan dan sudah tidak mahu ambil pusing lagi hal DAP.

Dengan segala perkembangan itu, DAP dan PKR secara terang-terangan mempermainkan dan tidak memberi ruang kepada Pas dalam PRU-13.

Jika sekutunya tidak menghormati Pas, wajarkah pengundi di Batang Sadong, Tanjong Manis, Igan, Sibuti dan Kota Samarahan memberikan kepercayaan kepada parti itu.

Apatah lagi, rakyat Sarawak masih terguris dengan penghinaan yang dihamburkan Abdul Hadi sewaktu berucap dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Manek Urai, Kelantan pada 11 Julai 2009.

Dalam ceramah itu, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata: "Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita.

"Cuma di Batang Air (Sarawak) sahaja kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina, tetapi tempat yang pakai molek, undi Pas," katanya.

Sehingga saat ini, Abdul Hadi belum membuat kenyataan memohon maaf dan sebaliknya beliau meneruskan modus operandi pembangkang apabila sudah terjerat iaitu menyalahkan pihak lain.

"Apa saya minta, media jangan buat provokasi untuk pengundi-pengundi lain dan mereka yang duduk di kawasan pedalaman tak baca surat khabar pun.

"Kenapa berita ini perlu disiarkan kepada orang ramai, (adakah) ini kerana kehabisan modal untuk berkempen," katanya di Markas Pas Kota Samarahan, 14 Februari lalu.

Dalih Hadi tidak mengejutkan kerana dia pernah menyifatkan bukti dalam bentuk video sebagai besi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment